Ketua strategik DAP yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong beberapa hari lalu menulis mengenai ‘teori’ kerajaan hari ini adalah kerajaan Mahathir-Anwar. Namun bagi saya ia adalah salah, dangkal dan tidak positif bagi kelangsungan sebuah kerajaan yang berwibawa.
Kerajaan Malaysia hari ini ada seorang Perdana Menteri yang mengangkat sumpah kerahsiaan sebagai pemimpin negara di Istana Negara dan tidak ada orang lain selain beliau yang mengangkat sumpah kerahsiaan sebagai Perdana Menteri.
Memberi kuasa atau seolah-olah memberikan kuasa dan bidang kuasa sama kepada seorang lain yang tidak mengangkat sumpah kerahsiaan Perdana Menteri adalah salah dan boleh mengundang implikasi buruk kepada rakyat dan negara.
Di dalam sudut pentadbiran negara juga ia tidak praktikal sama sekali justeru di awal tadi saya hanya memberi taraf satu ‘teori’ sahaja kepada saranan ini.
Dari sudut falsafah dan praktis kepimpinan Islam juga ia tidak dibenarkan dan salah dari segi praktis. Hanya ada seorang sahaja ketua yang harus diberikan sepenuh penghormatan sekiranya dia benar dan boleh dikritik sepenuhnya sekiranya beliau melakukan kesalahan.
Kita faham hari ini ada percaturan kuasa dan imbangan kuasa antara parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin politik yang sedang menjadi sebahagian daripada kerajaan baharu ini.
Tetapi saya sarankan tinggalkan percaturan itu di tangga-tangga pejabat parti-parti politik masing-masing dan jangan cuba diseret percaturan politik pemimpin dan parti ke dalam sistem pentadbiran sebuah kerajaan.
Parti politik dan kerajaan adalah dua entiti yang berbeza walaupun saling berkaitan. Pemimpin-pemimpin di dalam kerajaan baharu ini harus cepat belajar dan perlu faham akan perbezaan-perbezaan sebegini.
Jangan pula sampai rakyat meluat melihat beberapa pimpinan kerajaan baharu ini terus dengan percaturan politik dan meletakkan ia mengatasi semua kepentingan lain termasuk kepentingan negara ini.
Sejarah politik negara suatu ketika dahulu pernah ada percubaan mencipta pentadbiran 2M (Mahathir-Musa Hitam). Kita semua sudah tahu apa kesudahannya dan ia tidak perlu berlaku lagi.
Maka sekali lagi saya sarankan kepada kerajaan baru ini, jangan terus sibuk mencatur politik keterlaluan sehingga mengatasi kepentingan rakyat dan negara.
Apa yang utama, mereka perlu fokus dan tumpu pada kerja untuk rakyat serta menjaga kepentingan dan hak negara demi kemaslahatan ummah.
DATUK MOHAMAD EZAM MOHD. NOR ialah antara pengasas PKR.










