Tenang ‘sek kito’ - Utusan Malaysia

Tenang ‘sek kito’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Pre­siden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan menggesa penyokong Kelantan agar tidak terlalu cepat menghukum pasukan itu selepas mereka tewas mengejut 0-1 kepada Selangor United dalam aksi Liga sulung Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

Bibi berkata, walaupun membuka kempen musim ini dengan langkah kiri namun kekalahan tersebut tidak boleh dijadikan ukuran, sebaliknya menegaskan Kelantan perlu bangkit untuk menebus kekecewaan tersebut pada aksi seterusnya.

Kelantan akan melayan kunjungan Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV pada 8 Februari ini.

“Buat masa sekarang kita tidak boleh menilai perlawanan tadi sebabnya mungkin pemain tidak biasa bermain pada waktu petang.

“Saya fikir mereka kena biasakan diri sebab selepas ini akan banyak bermain petang.

“Saya tengok keserasian dalam kalangan pemain terutama (Raul) Tarragona masih belum dibentuk dengan baik.

“Jujurnya memang saya menaruh harapan tinggi untuk memenangi perlawanan ini namun saya lihat banyak kesilapan berlaku, tidak kiralah kecil atau besar kesilapan itu.

“Kita kena menang perlawanan selepas ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kekalahan itu pasti menjadi tamparan hebat buat Kelantan kerana tewas di tangan pendatang baharu Liga Perdana, Selangor United yang meraih gol tunggal menerusi Nikita Pavlenko pada minit ke-23.

Bagaimanapun, Bibi me­negaskan beliau tidak berasa kecewa setelah terpaksa melihat pasukannya tewas di tangan pendatang baharu cuma berharap ia tidak berulang lagi.

“Nak kata kecewa itu tidaklah sebabnya kami sudah biasa dengan kekalahan, tetapi saya mahu ingatkan pemain jangan hampakan penyokong.

“Jangan tamak bola sebab apabila bermain dalam pasukan kita boleh nampak sesetengah pemain tidak mahu membuat hantaran bola kepada rakan sepasukan,” katanya lagi.

Bibi turut memberitahu ketiadaan ketua jurulatih, Marko Kraljevic ketika pasukannya beraksi adalah disebabkan bekas penyerang Kelantan musim 1991-1194 itu masih belum menerima permit kerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×