SEPANG 26 Feb.- Sejajar arus perkembangan semasa, buat julung kalinya teksi limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bakal menggunakan aplikasi e-hailing menjelang hujung tahun ini.
Aplikasi itu yang dinamakan Smart AI bukan sahaja dilengkapi ciri keselamatan seperti kamera dan butang panik, tetapi juga mampu menghentikan teksi serta-merta jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.
Projek perintis dijayakan oleh Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) dan syarikat Teguh Tunggal Sdn. Bhd. itu bakal dipasang kepada 2,100 teksi limosin KLIA dan KLIA2 secara berperingkat.
Presiden Petekma, Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, langkah tersebut bakal menjadikan antara satu pembaharuan kepada industri teksi yang kini tidak lagi bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata.
“Smart AI sepenuhnya berdasarkan sistem kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang mampu memantau sepanjang perjalanan iaitu bermula penumpang diambil dan tiba ke destinasi dituju.
“Jika berlaku sebarang pelanggaran kesalahan sama ada melibatkan pemandu atau penumpang, amaran dikeluarkan oleh pusat kawalan di Puchong, Selangor termasuk berupaya melaporkan kepada pihak polis dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, satu majlis memorandum perjanjian kesefahaman (MoA) dimeterai antara Petekma dan Teguh Tunggal Sdn. Bhd. yang disaksikan oleh Setiausaha Politik Kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Dahlan Maamor.
Menurut Mohd. Syahrir lagi, Smart AI bakal dilancarkan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ’19) pada bulan depan yang sekali gus melakar sejarah baharu kepada industri teksi tanah air.
“Jika sebelum ini, kita dengar banyak rungutan orang ramai mengenai sikap pemandu teksi, tetapi menerusi pembaharuan ini, ia secara tidak langsung dapat mengubah tanggapan tersebut kerana segalanya dipantau,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tambang bakal dikenakan, beliau berkata, kadarnya adalah seperti mana ditetapkan kerajaan selama ini,
misalnya harga tambang teksi bajet dan premium dari KLIA ke Kuala Lumpur masing-masing berjumlah RM83 dan RM115.
“Selain itu, kita memperkenalkan kadar istimewa atau diskaun tertentu bagi bukan waktu puncak untuk ke mana-mana destinasi penumpang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










