SEPANG – Sebanyak 300 buah teksi limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bakal menggunakan aplikasi e-hailing dengan peranti berteknologi terkini, Smart AI menjelang hujung tahun ini.
Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Teguh Tunggal Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang akan memasang peranti Smart AI.
Jelasnya, setakat ini, terdapat kira-kira 2,100 buah teksi limosin di kedua-dua lokasi itu namun, hanya 300 buah yang terpilih akan dipasang untuk fasa pertama projek tersebut dan akan dijalankan secara berperingkat.
“Peranti Smart AI dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti kamera dan butang panik. Selain itu, ia juga berupaya menghentikan kenderaan serkiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang yang tidak dipatuhi pemandu atau penumpang.
“Melalui penggunaaan peranti ini, kita dapat memantau pergerakan teksi limosin secara langsung sehingga penumpang tiba ke destinasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis memorandum perjanjian kesefahaman (MoA) yang dimeterai antara Petekma dan Teguh Tunggal Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, Datuk Dahlan Maamor.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Syahrir, penggunaan peranti dan aplikasi untuk pemandu teksi limosin di KLIA dan KLIA2 merupakan salah satu langkah terbaik untuk menangkis rungutan orang ramai terhadap perkhidmatan tersebut.
Jelasnya, pengenalan Smart AI juga berupaya menjadikan pemandu teksi limosin akan mempertingkatkan perkhidmatan mereka untuk penumpang sejajar dengan peredaran teknologi moden.
“Meskipun menggunakan aplikasi dan peranti, tambang teksi limosin masih mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Tambang teksi dari KLIA ke Kuala Lumpur dianggarkan berjumlah RM83 untuk teksi biasa dan RM115 bagi teksi premium. Ia merupakan kadar yang berpatutan selaras dengan mutu perkhidmatan yang akan diberikan oleh pemandu teksi limosin menerusi penggunaan peranti ini,” katanya. – K!ONLINE










