KUALA LUMPUR 24 Feb. – Polis perlu menangkap segera pihak yang terlibat meletakkan patung berhala di sebuah surau di Klang bagi menunjukkan keseriusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memelihara kesucian rumah ibadat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, insiden kali kedua di Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dalam tempoh empat hari itu tidak boleh dibiarkan berulang kerana perkara ini melibatkan provokasi agama.
“Saya minta tangkap segera mereka yang bersalah agar menunjukkan kesungguhan kita menjaga kesucian rumah-rumah ibadat khususnya dalam masjid dan surau.
“Saya ingin tegaskan pihak polis kena ambil langkah segera kerana jika dibiarkan perkara ini berterusan akan menimbulkan pelbagai provokasi dan kita tak mahu melihat negara kita dicemari dengan perbuatan sebegitu,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina di Subang, dekat sini hari ini.
Program anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Nordin Ibrahim dan Presiden Macma, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.
Semalam, sekali lagi patung berhala diletakkan di Surau Sabilul Huda yang merupakan kejadian kedua selepas insiden pertama Rabu lalu.
Dalam kejadian terbaharu itu, dua patung berhala diletakkan di pintu masuk surau tersebut yang disedari oleh seorang wanita yang dalam perjalanan ke kelas agama.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis telah membuka tiga kertas siasatan terhadap tiga individu berhubung kes penghinaan ke atas agama Islam, Nabi Muhammad serta isteri baginda, Saidatina Siti Aisyah di media sosial yang tular baru-baru ini.
Katanya, sehingga pukul 9 pagi ini, pihaknya telah menerima 491 laporan polis yang dibuat di seluruh negara terhadap tiga individu tersebut dan tindakan juga telah diambil.
Menurutnya, bagi pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai, pihak polis telah menerima sebanyak 478 laporan berhubung tindakan lelaki berusia 68 tahun itu memuat naik kata-kata dan infografik menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda.










