Takut cinta ditolak - Utusan Malaysia

Takut cinta ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA usia 25 tahun, persoalan tentang gerangan wanita pilihan dan impian perkahwinannya semakin kerap diajukan orang sekeliling. Semua ingin tahu apa perancangan penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku ini.

Bagaimanapun, Syafiq Farhain mengakui topik berkenaan masih kabur lagi buat masa sekarang. Masih belum boleh diperkatakan kerana dia belum bersedia sepenuhnya ke arah tersebut.

Sedang mengukuhkan kerjaya seni yang baru setahun jagung, dia juga enggan terburu-buru dalam urusan penting berkenaan. Dia bimbang hilang fokus hingga menyebabkan dia tersekat kemudian hari.

Mengakui hatinya belum dimiliki, Syafiq juga terbuka untuk menerima cinta daripada wanita yang sudi menerima seadanya. Segala kelebihan dan kekurangan menjadi pelengkap kepada hubungan itu nanti.

“Maaflah, rasanya belum layak lagi untuk saya membuka topik cinta ini. Takut cinta ditolak oleh si dia memandangkan diri ini masih banyak kekurangan.

“Lainlah kalau saya dah serba-serbi stabil. Masa itu baru saya bersedia untuk berkongsi panjang lebar tentang cerita cinta,” kata Syafiq minta dimengerti.

Kedudukan sebagai selebriti menjadikan penyanyi Kamar Hati ini lebih berhati-hati sebelum menjalinkan hubungan cinta. Dia tidak mahu menyalahgunakan profesion untuk tujuan bercinta jika ada beranggapan sebegitu.

Sebaliknya, dalam soal hubungan, dia mementingkan keikhlasan diri seseorang sebagai jaminan sebelum melangkah ke alam percintaan. Perkara itu perlu dititikberatkan untuk mendapatkan keserasian dalam hubungan.

“Calon pilihan wanita saya sangat ringkas. Tak adalah yang cantik seperti bidadari atau fizikal tubuh tertentu seperti berambut panjang atau tinggi.

“Asalkan dia boleh terima baik buruk saya, itu sudah memadai. Sebab selama ini, saya sentiasa sedar diri dan berpijak ke bumi yang nyata,” ujarnya.

Kelab peminat

SELEPAS diangkat sebagai naib juara untuk pertandingan nyanyian tahun lalu, Syafiq semakin mendapat tempat di hati peminat. Kelab Peminat Syafiq Farhain (Syafiq Farhain FC) ditubuhkan untuk menyokong aktiviti seninya.

Terkini, kelab peminat berkenaan mengadakan majlis kejutan sempena sambutan hari jadi ke-25 pada 19 Februari lalu. Majlis tersebut diadakan di Subang Jaya, Selangor.

“Ini adalah kali pertama menyambut hari jadi secara besar-besaran dalam hidup saya. Tak pernah sekalipun ada detik sebegini meriah pada hari jadi saya dalam hidup saya. 

“Saya tak pernah menyambut hari jadi bersama arwah ayah (Saleem Iklim). Tak pernah juga berasa apa itu keseronokan pada hari jadi bersama keluarga sendiri,” katanya.

Syafiq Farhain FC ditubuhkan sejak Ogos lalu dan kini mengumpulkan ribuan peminat tempatan termasuk dari Singapura dan Brunei.

Takut orang benci

Seronok tak apabila semakin popular berbanding fasa awal pembabitan dalam bidang hiburan sebelum ini?

Syukurlah apabila kehadiran saya semakin diterima peminat. Sokongan mereka juga tidak pernah berbelah bahagi, buat saya lebih bersemangat nak hasilkan karya terbaik selepas ini.

Risau tak kalau satu hari nanti Syafiq tidak popular lagi seperti sekarang?

Tak juga sebab kerisauan utama saya adalah lebih kepada perkara lain. Saya takut dibenci orang. Karya saya ‘ditolak’ dan apa jua membabitkan diri saya tidak dihargai orang ramai. Sedangkan tujuan utama saya memasuki industri ini adalah untuk menghiburkan ramai. Kalau itu berlaku, memang teruk kerjaya saya.

Apa kecaman yang diterima Syafiq hingga ke hari ini, boleh kongsi?

Antaranya masih ada yang mendakwa saya meniru suara arwah ayah. Ada juga yang membandingkan suara kami selain mendakwa saya tua sebelum usia. Semua itu saya terima dengan hati terbuka. Biarlah orang nak kata apapun. Saya tak terasa hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN