KUALA TERENGGANU – Sindiket penipuan ‘love scam’ kini dikesan menggunakan Islam untuk mempengaruhi mangsa di negeri ini sekali gus mengaut keuntungan mudah, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.
Beliau berkata, taktik terbaharu sindiket yang sebelum ini menggunakan cara ‘bermain cinta’ itu dikesan apabila polis menerima beberapa aduan daripada mangsa yang mendakwa telah memindahkan sejumlah wang untuk membantu anggota sindiket itu mendalami agama Islam.
“Anggota sindiket akan memujuk rayu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang sehingga beratus ribu ringgit walaupun hanya kenal di talian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Aidi berkata sebanyak 53 kes penipuan membabitkan ‘love scam’ dilapor di negeri ini tahun lepas dengan nilai kerugian sebanyak RM12 juta. – Bernama










