PUTRAJAYA – Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai untuk membantu siasatan berhubung dakwaan wang berjumlah RM90 juta yang dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas.
Menurut sumber, Ahli Parlimen Kota Bharu itu tiba di ibu pejabat SPRM di sini untuk memberi keterangan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
“Siasatan susulan kali ini kepada inidividu,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull mengesahkan dana RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun bank rasmi Pas.
Beliau bagaimanapun menyerahkan tindakan seterusnya kepada Bahagian Siasatan SPRM berhubung dakwaan sama ada siasatan terhadap parti pembangkang tersebut akan ditutup atau sebaliknya.
Pada 8 Februari lalu, SPRM telah memanggil beberapa pemimpin Pas termasuk Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Selain itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa juga dilaporkan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes sama. – K! ONLINE











