ARAU 10 Feb. – Tindakan sesetengah Menteri dan Timbalan Menteri Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan menipu kelayakan akademik mereka disifatkan cukup memalukan dan tidak wajar.
Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata,
rakyat sebenarnya tidak mempersoalkan kelayakan akademik seseorang pemimpin itu, sebaliknya sikap individu yang sanggup menipu dalam soal tersebut mengundang pertikaian ramai pihak.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Arau itu menggesa mana-mana pemimpin yang merasakan telah menipu dalam soal kelayakan akademik mereka supaya bertanggungjawab dan memohon maaf.
“Untuk seseorang menjadi Menteri, Timbalan Menteri dan Menteri Besar tidak perlu sebut kelayakan sebenarnya, kalau nak tunjuk juga, biarlah datang dari institusi yang diiktiraf. Tidak ada kelulusan tidak mengapa, asal jangan menipu.
“Kalau rasa diri itu menipu (kelayakan akademik) kena ambil tanggungjawab lah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina bagi peringkat Parlimen Arau di Dewan Cheng Aun Kong di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas berhubung isu kelayakan akademik melibatkan beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang menjadi polemik dalam kalangan rakyat sejak kebelakangan ini.
Antara pemimpin PH lain yang turut terpalit dengan kontroversi tersebut termasuklah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selain kelayakan akademik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Tambah Shahidan, jika di luar negara, mana-mana pemimpin yang menipu dalam soal sijil kelayakan akademik ini telah mengambil tanggungjawab memohon maaf dan meletakkan jawatan.
“Hal ini melibatkan soal integriti, dan ia tidak boleh dipandang mudah,”
kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.
Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, kerjasama UMNO dan Pas yang dilihat semakin baik akan diteruskan bagi memastikan kuasa politik di negara ini kembali dikuasai oleh orang Islam. – UTUSAN ONLINE










