Tahanan juvenil di bawah POCA ikut undang-undang - KPN - Utusan Malaysia

Tahanan juvenil di bawah POCA ikut undang-undang – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 1 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan pesalah juvenil yang dikenakan tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dibuat berdasarkan pembabitan mereka dalam jenayah dan bukan dilakukan secara sesuka hati.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, arahan penahanan itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah dan mahkamah berdasarkan kesalahan dilakukan mereka seperti aktiviti gengsterisme, pergaduhan dan jenayah berat lain.

Menurutnya, berdasarkan rekod, hanya seorang pesalah sahaja yang masih ditahan di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam, Johor di bawah POCA ketika ini, manakala 56 orang lagi hanya berada di bawah pengawasan undang-undang itu.

“Arahan penahanan itu bukannya dibuat sewenang-wenangnya oleh polis tetapi ia adalah keputusan lembaga dan mahkamah. Tindakan ini dibuat bagi mengekang mereka dalam aktiviti jenayah.

“Malah, pesalah yang ditahan di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam sudah berusia lebih 17 tahun dan apabila tempoh tahanan selesai, dia boleh dibebaskan,” katanya selepas menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 294 oranh penerima dari Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Rahim Jaafar.

Kelmarin, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan membebaskan 142 orang kanak-kanak yang ditahan di bawah POCA.

Suhakam menegaskan bahawa penahanan di bawah POCA memberi impak negatif terutama daripada sudut psikologi dan masa depan mereka selain juvenil terbabit turut mengalami masalah kesihatan seperti penyakit kulit akibat makanan dan kualiti kebersihan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya tidak akan memberikan kenyataan lanjut berhubung isu kem tahanan pemerdagangan manusia dan penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan sudah dibentuk.

Ini berikutan, seorang bekas wartawan akhbar berbahasa Inggeris melahirkan kekecewaannya kerana tidak diberikan pengiktirafan selepas membongkar isu tersebut, kira-kira tiga tahun lalu.

“Kita sudah respon kepada tulisan-tulisan (laporan media) yang dibuat oleh banyak pihak sebelum ini, oleh itu sekarang bukan waktu yang sesuai untuk saya menambah atau komen kerana RCI sudah dibentuk.

”Kita hanya akan beri kerjasama kepada badan tersebut dan segala persoalan akan ditanya dalam proses RCI itu yang dijangka mengambil masa antara sebulan ke enam bulan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×