Suri rumah warga China rugi RM38,000 - Utusan Malaysia

Suri rumah warga China rugi RM38,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 31 Jan. – Seorang suri rumah warganegara China mengalami kerugian RM38,000 dipercayai ditipu individu yang menawarkan tukaran mata wang tidak wujud, kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 44 tahun mahu membuat penukaran mata wang Ringgit (RM) kepada mata wang Yuan untuk dihantar kepada keluarga mang­sa di China dan dia telah diminta membuat bayaran untuk proses penukaran mata wang tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dari Taman Sungai Puyu, Butterworth di sini dikatakan telah melayari aplikasi Wechat sebelum berminat de­ngan iklan penukaran mata wang asing tersebut.

NOORZAINY MOHD. NOOR
NOORZAINY MOHD. NOOR 

“Mangsa telah menghubungi nombor telefon diberi dan berhubung dengan seorang lelaki yang mendakwa adalah ejen syarikat tukaran mata wang a­sing yang menawarkan penukaran mata wang asing dengan kadar yang tinggi.

“Mangsa kemudian bersetuju membuat penukaran sebanyak RM38,000 kepada Yuan dan te­lah diarahkan untuk membuat pembayaran dengan dijanjikan bahawa mata wang asing ini akan dimasukkan ke akaun keluarga mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa kemudiannya telah membuat dua transaksi pindahan deposit tunai di bank di kawasan Butterworth.

Katanya, sebaik mangsa telah memindahkan RM38,000 ke da­lam dua akaun bank tempatan, mangsa dan ahli keluarga mang­sa tidak memperolehi mata wang asing itu seperti dijanjikan.

“Mangsa berasa tertipu dengan ejen tersebut setelah talian telefon ejen tersebut telah dise­kat. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah beliau, polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit.

Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipu­an tersebut yang menjanjikan kadar tukaran mata wang asing yang lebih tinggi berbanding kadar yang ditawarkan oleh agen pengurup wang berlesen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×