Suhakam kecam kenyataan Mohamed Nazri - Utusan Malaysia

Suhakam kecam kenyataan Mohamed Nazri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengecam tindakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, kenyataan itu jelas bertujuan mencetuskan kebencian kaum dan perasaan tidak puas hati bagi tujuan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menurutnya, tiada sebarang undang-undang yang menentukan bahawa jawatan-jawatan tertentu perlu diisi oleh seseorang yang berbangsa Melayu.

“Ini kerana, pelantikan tersebut tertakluk kepada budi bicara dan pertimbangan kerajaan untuk melantik sesiapa yang terbaik dalam melaksanakan peranan demi rakyat Malaysia dan bukan hanya kepada bangsa Melayu sahaja.

“Pandangan lapuk mengenai perkauman tidak boleh ditolak ansur dalam ‘Malaysia baharu’ termasuk dalam sektor pekerjaan terutamanya dalam pengambilan perkhidmatan awam kerana kecekapan perlu diambil kira sebagai faktor utama pelantikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Nazri sebelum ini didakwa telah mengeluarkan kenyataan berhubung pelantikan Ketua Hakim, Peguam Negara dan Menteri Kewangan dari kalangan bukan Melayu dalam satu ceramahnya sempena PRK DUN Semenyih.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkan tuduhan itu berniat jahat dan tidak berasas sama sekali yang ditimbulkan bagi mengalih perhatian sokongan daripada BN pada PRK itu.

Dalam pada itu, Razali menambah, Suhakam mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu sebagai tindakan afirmatif sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, perlindungan terhadap kedudukan ini tidak bertentangan dengan pelantikan bukan Melayu dalam jawatan-jawatan tersebut.

“Memandangkan kenyataan ini dibuat oleh seorang ahli politik yang berkedudukan, Suhakam mengulangi seruannya agar Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) diratifikasi untuk menghalang dan membasmi semua manifestasi dan amalan kebencian kaum, agama dan bangsa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN