“ORANG lama kata, perkahwinan umpama perjudian, ada kala menang, ada kala kalah. Ada pula kata berumah tangga umpama air laut, ada kala pasang, ada kala surut. Tetapi berbeza dengan perkahwinan saya, memanjang surut, ada kala berlaku ribut hingga laut bergelora.
“Pada yang kurang faham maksud saya, biar saya ceritakan bahawa rumah tangga saya jarang aman tenteram biasanya, hidup saya tertekan, berpunca kerana tak berduit. Tapi bila suami bergaya konon ada duit, jangan banyak tanya, pergilah periksa tas tangan atau laci simpanan anda. Pasti duit anda hilang.’’ Itu cerita Cik Su ketika kami berbual dalam satu pertemuan baru- baru ini. Pelikkan, tetapi itulah kenyataannya.
“Sebenarnya saya pun tak tahu macam mana saya terima Ismee jadi suami? Tak handsome! Tapi pandai berbual, peramah dan kalau bercakap takkan ada orang yang tak percaya ceritanya, semua akan terlopong dan angguk percaya.
“Kata kawan, Ismee peramah dan baik hati, jadi kita pun percaya dan akhirnya berkahwin. Hantaran tak banyak ketika kami berkahwin 25 tahun lalu, tapi di tempat saya kalau hantaran RM3 ribu tu kira dah bagus sangat, itu janjinya dan keluarga terima, asalkan saya kahwin, maklum orang Melayu, ada dara lambat kahwin dipanggil andartu.
“Tiba hari perkahwinan, duit hantaran tak cukup. Terkejut ahli keluarga, tetapi memikirkan makan minum sudah tersedia, tetamu dah datang takkan nak buat kecoh, keluarga terima saja, walaupun ada kekesalan. Malam itu Ismee bercerita, dia kena rompak maka duit hantaran jadi mangsa. Duit yang dihantar itu adalah pinjaman daripada keluarga.
“Keluarga percaya. Janji Ismee akan bayar bakinya. Malangnya hingga lahir tiga orang anak baki duit hantaran tak nampak bayang pun, yang jelas pembohongan dan penipuan Ismee buat keluarga hilang kepercayaan kepadanya.
“Masa belum kahwin katanya dia kerja jual kereta, tetapi yang jelas keretanya selalu bertukar dan kami tak tahu apa kerjanya. Sebab Ismee selalu bertukar cerita. Penderitaan saya bermula bila saya hamil anak sulung, kami sering tak berduit. Sedangkan rumah nak bayar sewa, makan minum perlu ada, duit ubat dan hospital zero, dan persediaan sambut anak pertama masih belum ada. Ismee suruh sabar.
“Walaupun saya bekerja tetapi gaji kecil. Kawan cadangkan saya mengasuh anak orang, sebab ramai kawan tempat saya bekerja susah nak dapat orang jaga anak. Kerana cadangan baik. Saya sewa rumah kosong sebelah rumah sewa saya untuk jaga anak-anak kawan. Dari tiga orang bayi tambah lapan orang. Dan sambutan menggalakkan hingga saya tambah pembantu.
“Dalam pada itu ada pula kawan hantar anak suruh saya buat rumah transit untuk anak-anak ke sekolah agama, atau ke sekolah petang. Oleh kerana sambutan baik maka saya berhenti kerja untuk beri tumpuan sepenuh masa kepada bisnes yang baik ini. Memang terasa lapang dan lega, tak ada masalah makan minum. Kecuali Ismee selalu ganggu minta duit saku, duit petrol, duit rokok selain makan minum untuk dia gebang waktu malam
REZEKI
“Walaupun kepala pening dengan perangai Ismee sering minta berduit, tapi rezeki saya tambah baik bila ada pula yang cadangkan saya buka kelas tadika. Memang tak percaya dengan rezeki yang datang. Untuk melaksanakan hasrat tersebut saya hadir kursus buka tadika.
“Dengan izin Allah saya berjaya, ramai pula yang hantar anak ke tadika selain mengasuh bayi dan jadikan transit kanak-kanak ke sekolah agama dan sebagainya. Memang saya tak sangka rezeki datang mendadak.
“Kerana itu tak hairanlah jumlah kakitangan bertambah termasuk tukang masak dan guru tadika, saya sendiri turun padang mengajar dengan sedikit ilmu yang ada. Tetapi ketika rezeki datang bertimpa-timpa, Ismee pulak jadi puaka menyusahkan hidup saya.
“Walaupun kawan kata saya bertuah ada bisnes, tetapi mereka tak tahu kehidupan saya yang sentiasa diduga dengan perangai Ismee. Paling menyakitkan hati bila saya tak bagi dia duit saku, dia pujuk nak pinjam duit nak buat bisnes. Bila tak dapat dia pau duit ibu bapa.
“Bayangkan bila awal bulan sepatutnya ibu bapa bayar yuran tadika, pengasuh dan sebagainya, tapi mereka tak bayar, bila saya minta, mereka kata, duit yuran sudah beri pada Ismee. Aduh malunya!! Mereka kata suami saya minta duit bagi pihak saya. Masa bila pula saya suruh dia kutip duit yuran? Saya tak cakap banyak kecuali senyum. Dalam hati mendidih marahkan suami. Setiap bulan bertambah ramai ibu bapa beritahu mereka sudah bayar yuran kepada Ismee. Sedangkan saya dah tegah dia jangan buat hal lagi.
“Kalau setakat dua atau tiga orang bolehlah saya gagah teruskan bisnes tapi kalau dah lebih 10 ibu bapa yang Ismee pau macam mana? Hingga saya tak ada duit untuk bayar gaji pengasuh, guru, tukang masak dan sewa rumah. Setiap hari saya menangis pujuk Ismee jangan ambil duit, kerana saya perlu bayar gaji pekerja. Bila saya tegur perbuatan Ismee, empat atau lima hari dia tak balik rumah. Dekat cukup bulan dia buat hal lagi. Perangainya membuatkan saya makan hati.
“Semakin saya tegah jangan ambil duit daripada ibu bapa dia kutip lagi banyak. Bila ibu bapa hendak bayar pada saya, dia pujuk pula si ayah nak pinjam duit. Perbuatan itu amat memalukan bila awal bulan ibu bapa beritahu dia tak bayar duit yuran sebab tolak duit yang dia pinjam daripada mereka. Allah!! Malunya! Sakitnya hati hanya Allah yang tahu.
“Pernah saya pergi ke bank nak ambil duit, bank kata duit saya dah habis diambil oleh Ismee, Bila saya tanya kenapa beri pada dia saya tak suruh. Bank pun tunjukkan bukti lengkap surat yang bertandatangan saya dan surat doktor konon saya sakit terlantar dan perlukan duit untuk bayar bil hospital. Memang terkejut beruk saya bila pegawai bank tunjukkan bukti. Perbuatan itu amat memalukan dan menyakitkan hati.
“Walaupun keadaan hidup saya nampak senang, ada tadika, dan sebagainya, tetapi itu semua luaran sahaja, sebenarnya hidup saya dikelilingi hutang. Paling menyakitkan hati bila saya mengadu pada emak Ismee supaya nasihatkan Ismee ambil dan pinjam duit orang, emaknya pulak kata sebaliknya saya yang susahkan Ismee. Konon buat macam macam bisnes, tapi tak ada duit suruh Ismee pinjam pada emaknya.
“Lagi terkejut beruk saya bila emaknya beritahu bisnes yang saya jalankan itu adalah hasil usaha Ismee yang berhutang berbaris pinjam pada emaknya. Saya bukan saja terlopong dengar cerita mentua saya, saya terkedu bila mereka tuduh saya suka meminjam.
“Saya cuba ceritakan apa sebenarnya berlaku, tapi mereka tak percaya hinggalah satu hari bila Ismee curi gelang dan kerongsang emas pusaka nenek Ismee dan gadaikan. Mereka sekeluarga datang rumah saya minta saya ganti konon Ismee gadai barang kemas tersebut sebab nak tolong bisnes saya yang bermasalah.
Duit ah long
“Kebetulan hari itu dah seminggu Ismee tak balik rumah. Mereka nak suruh ganti duit mereka, tetapi saya pula minta mereka ganti duit saya yang selama dua bulan sebelum itu saya terpaksa bayar duit ah long yang Ismee pinjam. Kalau saya tak bayar, bukan saja bisnes saya dimusnahkan, malah akan melibatkan anak-anak jagaan saya diugut akan diculik.
“Jadi demi keselamatan kami sekeluarga dan anak-anak jagaan saya, saya terpaksa buat perjanjian dengan ah long bayar hutang yang Ismee pinjam. Sekarang giliran emak dan adik beradik Ismee terkejut apa yang Ismee lakukan kepada saya selama ini. Tetapi emak dan adik beradik tetap sayangkan Ismee darah daging mereka.
“Kerana takut dikejar ah long, akhirnya saya buat keputusan lebih baik bercerai. Kerana Ismee bukan suami tempat saya bergantung. Dia bukan menyenangkan hidup saya sebaliknya menganiaya saya. Saya tak tahu apa dia buat dengan duit yang dia tipu selama ini. Sebab tak ada satu bisnes pun yang dibuat kecuali enjoy.
“Tapi perangai buruknya ambil duit dari ibu bapa tetap berterusan, akhirnya saya tutup semua bisnes. Cukuplah dia menipu saya. Tapi saya terpaksa cari kerja untuk sara hidup tiga anak ini. Kejadian ini berlaku kira kira 8 tahun lalu. Hingga kini Ismee masih tak bayar nafkah yang saya tuntut. Paling menyedihkan orang tetap datang rumah dan telefon saya tuntut saya bayar hutang Ismee. Tapi mereka kecewa bila saya tunjukkan surat cerai.
“Bila ejen-ejen ah long datang, saya beritahu rumah emaknya, dan suruh minta pada mereka, biarlah emak dan adik beradik Ismee merasa peritnya perangai Ismee. Bukan niat saya menganiaya mereka, tetapi biarlah mereka percaya perangai Ismee menganiaya saya selama ini.











