SERI ISKANDAR – Sepasang suami isteri warga Indonesia ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di tapak projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah 18 tahun lalu.
Suspek yang berusia 50 tahun dan isterinya berumur 49 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Sungai Dusun, Hulu Selangor, Selangor pada pukul 8.45 malam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua suspek itu kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Dalam kejadian pada 14 Ogos 2001 itu, mayat mangsa, Rebin Sumadi Suwoko, 32, yang merupakan warga Indonesia itu ditemui dengan beberapa kesan tetakan senjata tajam di kanan leher, belakang pinggang dan kakinya.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah disebabkan rasa curiga dan cemburu suspek ke atas seorang lelaki warga Indonesia lain yang disyaki menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya yang ditinggalkan berniaga kantin di rumah kongsi di tapak pembinaan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohamad Zainal, suspek bersama beberapa rakannya yang datang dari Kuala Lumpur ketika itu datang ke rumah didiami isterinya di rumah kongsi di tapak pembinaan untuk mencari lelaki berkenaan namun gagal.
“Mangsa kemudian cuba menjelaskan kedudukan lelaki yang dicari suspek itu.
“Bagaimanapun, dia pula diserang suspek sehingga maut,” katanya. – K! ONLINE










