DONG DANG, Vietnam – Sebuah stesen kereta api di sempadan Vietnam-China ditutup menjelang ketibaan Kim Jong-un yang menaiki tren, selain dikelilingi pengawal-pengawal bersenjata semalam, beberapa hari sebelum sidang kemuncak pemimpin Korea Utara itu dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump diadakan di Hanoi.
Jong-un menaiki tren berwarna hijau di Pyongyang, Sabtu lepas, manakala gerabak-gerabak berperisainya dilihat menyeberangi sebuah jambatan dan memasuki China.
Kereta api itu melintasi Beijing dan menuju arah selatan ke Vietnam, negara tuan rumah kepada pertemuan kedua antara Jong-un dan Trump selepas sidang kemuncak bersejarah mereka di Singapura pada Jun tahun lepas.
Sumber-sumber di Vietnam berkata, Jong-un dijangka tiba di stesen kereta api Don Dang dekat sempadan Vietnam awal pagi ini selepas melakukan perjalanan epik sejauh 2,500 kilometer yang mengambil masa dua hari setengah.
Sebuah konvoi kenderaan akan membawa beliau dari Dong Dang ke Hanoi dengan pihak berkuasa dikatakan akan menutup keseluruhan jalan sejauh 170 kilometer itu dari pukul 6 pagi hingga 2 petang (waktu tempatan) hari ini.
Seorang wartawan agensi berita AFP melihat pengawal-pengawal bersenjata ditempatkan di stesen Dong Dang pagi semalam.
“Stesen kereta api ini ditutup kepada orang awam. Kami tidak tahu berapa lama ia ditutup tetapi mungkin sehingga esok (hari ini),” kata seorang pengawal berkenaan kepada AFP tanpa mendedahkan identitinya.
Dua sumber turut memberitahu AFP semalam bahawa Jong-un akan tinggal di sebuah hotel moden di Hanoi, Hotel Melia, manakala seorang lagi sumber berkata, hotel tersebut ditempah sepenuhnya hingga awal bulan depan tetapi enggan mendedahkan nama mana-mana orang kenamaan.
Semasa di Vietnam, Jong-un juga dijangka melawat zon industri di wilayah Quang Ninh dan Bac Ninh yang menempatkan kilang Samsung. – AFP










