SSeMJ rangkul emas di Nanjing - Utusan Malaysia

SSeMJ rangkul emas di Nanjing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 1 Feb. – Malaysia terus menjadi sebutan dunia apabila pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) merangkul emas pada Festival Seni dan Kebudayaan Belia Antarabangsa yang berlangsung di Nanjing, China pada ming­gu lalu.

Dalam kejohanan bertaraf dunia yang berlangsung pada 27 Januari lalu itu, pasukan SSeMJ yang terdiri daripada 12 pelajar itu menewaskan 176 pasukan lain dari China, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan juga Kanada.

Ketua Kontinjen, Faris Marlias berkata, pasukannya menampilkan persembahan Gamelan Sari iaitu tarian tradisional yang diolah dengan gabungan pelajar lelaki dan wanita yang melambangkan kese­nian dan kebudayaan Malaysia.

“Gamelan Sari yang dipersembahkan ini melambangkan keunikan Malaysia, juri juga teruja dengan persembahan kami. Kami amat bangga kerana dapat mengharumkan nama negara dan memperkenalkan lagi budaya kita.

“Tarian yang dipersembahkan amat tersusun, untuk kelainan kami turut menggunakan pakaian tradisional dengan tarian di­iringi lagu melambangkan identiti Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Faris merangkap guru tarian di SSeMJ berkata, pasukannya terpilih mewakili negara ke festival berkenaan selepas menjuarai Festival Seni dan Kebudayaan Belia peringkat kebangsaan yang dianjurkan pada Oktober tahun lalu.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian dan Jabatan Pendidikan negeri (JPN), pengurusan SSeMJ, penganjur serta ibu bapa yang ba­nyak memberi sokongan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Mohd. Azirul Haikal Abu Hassan, 17, berkata, dia gembira dan teruja dengan kejayaan tersebut memandangkan terdapat pasukan daripada pelbagai negara yang lebih berpengalaman dalam bidang tarian mengambil bahagian.

“Saya amat terkejut dan tidak percaya apabila pasukan kami merangkul emas. Kami anggap ini adalah pengiktirafan untuk sekolah dan Malaysia khusus­nya. Segala penat lelah kami berlatih sejak dua bulan lalu membuahkan hasil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×