SPR teruskan PRK Semenyih - Utusan Malaysia

SPR teruskan PRK Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti yang ditetapkan pada 2 Mac, kata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

Ini susulan keputusan mahkamah berkaitan PRK itu yang memihak kepada suruhanjaya berkenaan.

“SPR menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang memutuskan bahawa semua keputusan yang dibuat SPR berhubung proses PRK DUN Semenyih adalah sah dan mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada serta menolak tuntutan saman yang dibuat seorang pengundi berdaftar di Semenyih terhadap SPR.

“Sehubungan itu, SPR akan meneruskan PRK Semenyih sepertimana yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Esok ialah hari pengundian awal bagi PRK itu.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon bebas, Kuan Chee Heng. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN