SPR siar Facebook Live undi awal PRK Semenyih - Utusan Malaysia

SPR siar Facebook Live undi awal PRK Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Feb.- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyiarkan secara langsung menerusi Facebook Live proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih esok.

SPR dalam satu kenyataan memaklumkan, proses itu turut disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding di samping pemerhati pilihan raya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik pihaknya.

“Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi esok, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis

“Pada Sabtu ini, peti-peti tersebut akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok ditetapkan SPR untuk dikira dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing serta pemerhati pilihan raya dibenarkan,” katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Pada masa sama, SPR memaklumkan, seramai 858 orang daripada jumlah keseluruhan 951 pengundi awal PRK DUN Semenyih akan melaksanakan tanggungjawab mengundi esok.

Menurut SPR, mereka melibatkan anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan yang akan mengundi di dua lokasi iaitu

Dewan Serbaguna Batalion 4 PGA Semenyih dan Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Manakala sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal terdiri daripada anggota polis PGA pula telah mengundi secara pos.

“Pusat pengundian awal akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang manakala di IPD Kajang, waktu pengundian ditutup pada pukul 2 petang,” jelas kenyataan itu lagi.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd. Noor, 57, me­ninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Pilihan itu menyaksikan pertandingan empat penjuru termasuk calon Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN