KUALA LUMPUR 26 Feb. – Kerajaan proaktif untuk meningkatkan tahap kualiti urus tadbir masjid dengan mewujudkan manual Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutuan (SPMWP) bagi memastikan institusi itu ke arah yang optimun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, usaha itu bertujuan memperkasa peranan masjid sebagai pusat aktiviti sosial umat Islam di samping mengetengahkan konsep masjid menyantuni ummah.
Katanya, pendekatan itu akan memberi fokus kepada empat komponen utama iaitu pengurusan organisasi, pengimarahan, kemudahan prasarana dan persekitaran selaras dengan konsep RAHMAH iaitu Ramah; Aman; Harmoni; Mesra; Alami dan Hormat.
“Konsep RAHMAH yang diperkenalkan ini membawa maksud cukup mendalam bagi merealisasikan fungsi masjid yang sebenar.
“Rangkaian dan ungkapan penuh makna ini diharapkan berupaya memberi inspirasi kepada masjid di seluruh negara untuk diterapkan dalam usaha murni menyantuni ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Pelancaran SPMWP dan Penyampaian Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Sesi 2018-2020 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Abd. Kadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail. – UTUSAN ONLINE











