BESUT – Meskipun perasaan malu pada mulanya menyelubungi seorang remaja, Fakhrul Fahmie Ishak, 18, yang memakai kostum watak komik adiwira Spiderman ketika membantu di gerai burger milik abangnya, Ahmad Ridhuan Ishak, 22, namun beliau kini semakin teruja apabila strategi itu berjaya meningkatkan jualan harian mereka.
Setiap hari, gerai itu yang diusahakan bersama rakan mereka, Muhammad Syukri Hakim Yacoob, 21, di Kampung Raja di sini tidak putus-putus dikunjungi pelanggan terutama yang menggunakan laluan Kampung Raja-Kota Putera sejak di dibuka 31 Disember lepas.
Menurut anak bongsu dari lapan beradik itu, beliau membantu abangnya berniaga sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengumpul sedikit simpanan untuk menyambung pelajaran pada masa hadapan.
“Pada awalnya saya rasa malu memakai kostum Spiderman sebab menjadi tumpuan orang ramai yang lalu-lalang dekat sini, namun perasaan itu bertukar teruja apabila perniagaan yang diusahakan abang saya dan Syukri bertambah baik apabila ramai pelanggan datang ke gerai burger kami.
“Mereka mencuba keistimewaan burger di sini di samping berswafoto bersama saya,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Kampung Raja di sini.
Kadang-kala kenderaan yang lalu dan melepasi kami pun berpatah kembali bila melihatnya berdiri di tepi jalan dan melambai-lambai kepada mereka.
“Mereka akan berhenti seketika untuk anak mereka berswafoto dan ketika itu saya mengambil peluang untuk mempromosi ‘Square Burger Spiderman kami,” katanya.
Ridhuan pula berkata, idea menggunakan kostum itu tercetus secara spontan dan bersama rakan karibnya Syukri terus membelinya secara dalam talian dengan harga hampir RM100 pada awal Disember tahun lepas sebelum memulakan perniagaan pada akhir bulan tersebut. – Bernama










