SEREMBAN 8 Feb. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak polis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai kira-kira RM60 juta apabila merampas tiga juta biji pil Eramin 5 di Pelabuhan Klang, Selangor pada 31 Januari lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, kesemua pil seberat 480 kilogram itu didapati disorokkan di dalam 1,248 tabung besi ekzos motosikal.
Katanya, rampasan dibuat selepas pihaknya menyita dua buah kontena di pelabuhan itu pada pukul 1.30 petang selepas disyaki mengandungi dadah tetapi diikrarkan membawa alat kenderaan dari Taiwan.
“Kita telah memantau sejak ketibaan dua kontena tersebut di Pelabuhan Klang pada Disember tahun lalu namun tiada tuntutan dibuat mana-mana pihak terhadap kontena itu.
“Hasil pemeriksaan salah sebuah kontena didapati mengandungi 139 kotak berisi 1,248 tabung besi ekzos motosikal. Pihak Kastam terpaksa menggunakan alat pemotong untuk membuka ekzos tersebut.
“Di dalamnya terdapat balutan plastik lut sinar mengandungi pil-pil disahkan dadah jenis nimetazepam,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azmah Abd. Hamid dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Subromaniam berkata, susulan itu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan. Kesemua pil yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh kira-kira 300,000 individu.










