Sokong ketegasan kerajaan tidak benarkan atlet Israel - Utusan Malaysia

Sokong ketegasan kerajaan tidak benarkan atlet Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 1 Feb. – Kira-kira 200 umat Islam berkumpul di Dataran Putra, di sini bagi menzahirkan sokongan terhadap ketegasan Malaysia untuk tidak membenarkan atlet Israel datang ke negara ini.

Himpunan hampir satu jam yang dinamakan ‘Tolak Israel Masuk Malaysia’ itu disertai beberapa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, belia dan Palestin selepas solat Jumaat.

Antara yang terlibat adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Belia Malaysia (MBM), Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA).

Para pehimpun antara lain mengibarkan Jalur Gemilang, bendera Palestin, sepanduk tertulis ‘Hancur Zionis’, ‘Hormat Kedaulatan Palestin’ dan ‘Belia Malaysia Bersama Palestin’.

Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid ketika membaca deklarasi himpunan itu memberitahu, mereka menyokong penuh keputusan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara baru-baru ini.

Beliau menambah, himpunan itu menegaskan bahawa kerajaan berpendirian tegas dan tidak berkompromi dengan Israel yang sedang cuba menekan Malaysia melalui platform antarabangsa.

Himpunan itu tegasnya, turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel menekan Jawatankuasa Paralimpic Antarabangsa (IPC) untuk membatalkan Malaysia kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah kepada kejohanan acara kelayakan renang paralimpik.

“Perhimpunan mengecam IPC menjadi alat kepada Israel dan tunduk kepada kehendak Israel mengenai pendirian Malaysia mengharamkan atlet Israel masuk ke Malaysia,” katanya pada himpunan tersebut.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) 1/2019 pada 10 Januari lalu menyatakan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang sebelum ini dijadualkan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Minggu lalu, IPC dalam mesyuarat di London memutuskan untuk menarik balik hak penganjuran kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Azmi berkata, kerajaan juga digesa menyemak semula perdagangan langsung atau tidak langsung dengan Israel merangkumi perkhidmatan atau barang termasuk kerjasama teknologi serta menghentikan sebarang urusan berkait dengan Israel.

Dalam masa sama kata beliau, rakyat Malaysia di semua peringkat digesa melancarkan boikot ke atas semua barangan dan perkhidmatan berkaitan Israel.

“Semua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mencontohi Malaysia dan mengambil tindakan sama seperti ditunjukkan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN