KUALA LUMPUR 2 Feb. – Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) yang menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada mereka daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) berusia 50 tahun ke atas masih dalam fasa projek perintis dan belum lagi dilancarkan sepenuhnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelancaran yang diadakan pada Isnin lalu lebih merupakan sesi pelancaran media bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai serta membolehkan kementerian mengkaji penerimaan rakyat dan pemegang taruh terhadap skim itu.
Katanya, Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan serta maklum balas pelbagai pihak terhadap skim Peka B40 yang mahu pengendalian dan pelaksanaan skim tersebut menepati objektif.
“Mulai bulan Februari 2019, kementerian akan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pihak pemegang taruh yang berkenaan untuk membincangkan penglibatan mereka dalam skim ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Dr. Dzulkefly, skim Peka B40 adalah percuma kepada penerima kerana dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan, dengan peruntukan sebanyak RM100 juta sebagai permulaan dan dijangka mampu menampung 800,000 orang penerima.
Tambahnya, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangannya yang berumur 50 tahun dan ke atas, akan layak menyertai skim itu secara automatik, dan tiada pendaftaran diperlukan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan skim itu diuruskan sendiri kementerian melalui ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (PHCorp) iaitu sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan dan ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.
Katanya lagi, pemilik klinik perubatan am swasta yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan serta memenuhi kriteria pemilihan yang telah ditetapkan dipelawa untuk menyertai skim ini.
Tambahnya, bagi klinik perubatan am swasta, yuran perubatan untuk perkhidmatan perundingan dan pemeriksaan kesihatan telah ditetapkan di bawah Jadual Ketujuh, Praturan-Peraturan Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta Atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 atau Akta 586.
Sementara itu katanya, bagi makmal perubatan swasta, penyertaan dalam skim itu adalah terbuka kepada semua syarikat makmal perubatan swasta yang berminat, namun tertakluk kepada syarat bahawa makmal-makmal syarikat tersebut menepati kriteria kualiti dan bersetuju menerima harga yang ditawarkan.
Dr. Dzulkefly juga berkata, kementeriannya juga mengambil maklum tentang cadangan beberapa pihak agar farmasi swasta dan hospital universiti turut dilibatkan dalam skim Peka B40.-UTUSAN ONLINE











