Skim jaminan kerajaan RM2b untuk PKS - Utusan Malaysia

Skim jaminan kerajaan RM2b untuk PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) melancarkan skim jaminan khas kerajaan RM2 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki Industri 4.0.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, RM2 bilion itu adalah sebahagian daripada jaminan berjumlah RM6.5 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2019 khusus untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan PKS tempatan.

Beliau berkata, tanpa PKS yang berpengetahuan tentang teknologi Industri 4.0, Malaysia tidak akan dapat berkembang maju dan menjadi destinasi pelaburan utama bagi pembuatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan tambah nilai tinggi.

“Skim jaminan RM2 bilion disediakan oleh SJPP dengan mengambil kira PKS menyumbang 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lepas. Sumbangan itu dijangka meningkat kepada 41 peratus pada 2020,” kata Guan Eng dalam ucapannya pada pelancaran skim itu hari ini.

Di bawah skim jaminan RM2 bilion itu, sehingga 70 peratus pinjaman dibuat oleh PKS akan dijamin oleh SJPP.

“Program ini bersama-sama dengan RM4.5 bilion lagi yang diumumkan dalam Belanwajan 2019 akan meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan kerana ia akan mengalakkan bank-bank mengambil risiko.

“Ini amat penting kerana kami mendapati bank-bank cuba mengelak risiko dan umumnya lebih gemar memberi pinjaman kepada syarikat besar serta mereka yang sebenarnya tidak memerlukan sebarang pembiayaan. Menerusi SJPP, kami berharap untuk mengubah ini dan membantu memacu sektor PKS,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2009, SJPP telah menawarkan jaminan berjumlah RM35 bilion dengan RM18 bilion daripadanya digunakan dan memanfaatkan 14,000 PKS di seluruh negara.

“Peruntukan di bawah jaminan itu merupakan kaedah murah untuk menggalakkan pertumbuhan PKS. Ini lebih-lebih lagi apabila pinjaman tidak berbayar adalah 0.9 peratus meliputi semua skim SJPP,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini, sebanyak 13 bank sedang giat mempromosikan skim jaminan oleh SJPP.

Sementara itu, pegawai prinsip SJPP Chen Yin Heng berkata, skim jaminan kerajaan itu turut menyasarkan segmen bumiputera, berikutan 60 peratus perusahaan mikro datang daripada segmen itu.

“Apa yang kami mahu lakukan adalah, kini SJPP akan membuka radar untuk menawan perusahaan mikro ini supaya lebih banyak peniaga bumiputera mendapat manfaat daripada skim jaminan kerajaan SJPP ini,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN