Baru-baru ini seorang guru warga Amerika Syarikat (AS), Caroline Bradner yang mengajar di sebuah sekolah di Thailand mengalami lumpuh secara tiba-tiba semasa terjaga daripada tidur pada waktu pagi.
Dia yang berusia 21 tahun disahkan menghidap sindrom Guillain-Barre (GBS), salah satu penyakit automimun iaitu antibodi yang dihasilkan dalam tubuh menyerang tubuh sendiri.
Pakar Perunding Neurologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Lim Poh Hin berkata, GBS berlaku apabila sistem saraf periferi pesakit diserang dan sistem imun yang menghasilkan antibodi mengecam saraf-saraf periferi sebagai musuh, menjadikannya sasaran untuk dimusnahkan oleh sistem imun.
Menurut beliau, sehingga kini punca GBS masih tidak diketahui namun dua daripada setiap tiga pesakit biasanya pernah mengalami gejala-gejala jangkitan sistem pernafasan atau cirit birit sebelum mengalami gejala GBS.
“Lazimnya pihak hospital mengesyaki GBS yang dialami berpunca daripada tindak balas sistem imun yang tidak wajar,”’ katanya.
Jangkitan-jangkitan yang berkaitan termasuklah jangkitan kuman Campylobacter jejuni (cirit birit), influenza, cytomegalovirus, virus Epstein-Barr, HIV dan mycoplasma pneumonia, namun GBS jarang berlaku kepada mereka yang telah menerima vaksinasi influenza.
Katanya, gejala awal menyebabkan pesakit mungkin merasa semut-semut atau kebas pada jari tangan dan kaki, mereka kemudian merasa lemah yang teruk pada kaki sehingga tangan, menyebabkan mereka sukar untuk berjalan.
Keadaan lemah yang semakin parah itu mungkin akan menyebabkan keadaan lemah pada muka, pesakit sukar menelan dan bertutur.
Malah jika melibatkan sistem saraf kawalan organ dalaman, pesakit akan mengalami kesukaran membuang air kecil dan jantung berdenyut dengan pantas.
“Jika rawatan tidak diberi dengan cepat, otot yang terlibat dalam pernafasan boleh menjadi lumpuh dan menyebabkan kematian pesakit,” tegas beliau.
Dr. Poh Hin berkata, kemerosotan fungsi otot biasanya berlaku dalam tempoh beberapa hari atau seminggu sehingga dua minggu.
Terdapat kes yang mana pesakit menjadi semakin tenat dalam tempoh beberapa jam selepas serangan berlaku sehingga sistem pernafasan gagal berfungsi. Akibatnya pesakit tidak boleh menarik nafas dan akhirnya membawa maut.
GBS tidak mengenal mangsa justeru ia boleh menyerang sesiapa sahaja namun pesakit berusia lebih 50 tahun yang baharu mengalami gejala jangkitan sistem pernafasan dan cirit-birit mempunyai risiko yang lebih tinggi.
Mereka yang mengalami GBS peringkat awal boleh pulih kerana sistem saraf tubuh mempunyai kebolehan untuk pulih sendiri apabila sel schwann dalam sistem saraf periferi boleh membina semula lapisan penebat yang dikenali sebagai lapisan myelin tetapi biasanya mengambil masa berbulan-bulan malah sehingga dua tahun.
Namun begitu sekiranya serangan terhadap lapisan myelin sangat kuat, ini boleh menyebabkan saraf di bawah lapisan myelin iaitu saraf axon musnah. Maka pesakit jarang pulih seperti asal akibat kecederaan yang dialami oleh saraf axon.
Kata Dr. Poh Hin, rawatan mengurangkan penyerangan sistem imun bagi memendekkan tempoh serangan saraf sekarang terdiri daripada sokongan sistem pernafasan menggunakan antibodi dan penapisan darah berupa dialisis untuk antibodi autoimun.
“Bagi pesakit tenat, rawatan utama adalah membantu sistem pernafasan dengan bantuan mesin pernafasan bagi menguatkan otot-otot pernafasan agar pesakit boleh bernafas sendiri,’’ ujar beliau.
Sementara itu bagi rawatan menghentikan serangan antibodi autoimun pula, pihak hospital akan memberi rawatan `intravenous pooled immunoglobulin’ (IVIG) iaitu antibodi yang dikumpulkan daripada darah yang diderma oleh orang ramai.










