Sindiket penyeludupan rokok dari negara jiran tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket penyeludupan rokok dari negara jiran tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sebuah sindiket penyeludupan rokok membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1,882,856 dalam satu serbuan di sekitar kawasan Seri Kembangan, Selangor pada 21 Februari lalu.

Operasi serbuan berkenaan dilakukan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Khas dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman susulan maklumat awam yang diterima serta hasil risikan yang dilakukan.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan tersebut seramai tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 50 tahun telah ditahan dan sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif dengan aktiviti penyeludupan sejak empat tahun lalu.

“Sebanyak 190 kotak rokok berjenama League yang setiap satunya berisi 50 karton rokok termasuk 40 buah kotak tembakau asli seberat 22 kilogram sekotak yang dipercayai mengelak daripada membayar cukai telah dirampas.

“Kami turut merampas dua buah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang menjadikan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1,882,856,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Acryl Sani, kesemua barangan seludupan itu telah dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan Selatan Semenanjung Malaysia.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti kastam ataupun RM50,000 dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN