KUALA LUMPUR – Syarikat kosmetik, Simply SS Trading Sdn. Bhd. (SimplySiti) bakal meluaskan capaian produknya ke pasaran Indonesia pada separuh kedua tahun ini.
Presiden dan Pengasas SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkata, syarikat turut mengintai peluang memasuki pasaran Singapura dan Asia Barat pada masa depan.
Pasaran SimplySiti turut berkembang di pasaran Brunei.
Menurut beliau, syarikat mengunjurkan kira-kira 60 peratus daripada jualan akan disumbangkan daripada pasaran eksport menjelang tahun 2020 berbanding hanya 5 peratus buat masa ini.
“Perancangan ke Indonesia ini sebenarnya sudah bermula sejak lima tahun lalu, namun prosesnya agak sukar dan kami berdepan pelbagai cabaran antaranya berhubung pendaftaran produk dengan pihak berkuasa kesihatan di sana.
“Kini semua berjalan lancar, cuma ada beberapa perkara kecil sedang diselesaikan, maklumlah Indonesia sedang sibuk dengan pilihan raya presiden yang bakal berlangsung April ini.
“Kami berharap kemasukan ke pasaran Indonesia ini dapat meningkatkan jualan keseluruhan sebanyak 50 peratus untuk tahun pertama, mengatasi rekod pertumbuhan jualan sebanyak 38 peratus yang dicapai tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan CIMB Islamic Bank Bhd. (CIMB Islamic) di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB, Rafe Haneef dan Ketua Pegawai Eksekutif SimplySiti, Azuddin Rahman.
Menerusi kerjasama tersebut, CIMB Islamic akan bertindak sebagai pemudah cara dan memberi bantuan dari segi logistik serta solusi pembiayaan menyeluruh untuk SimplySiti meneroka pasaran luar negara.
Mengulas mengenai pengembangan perniagaan ke Singapura, Siti Nurhaliza menjelaskan kedudukan Malaysia dan Singapura adalah terlalu dekat dan buat penduduk sana, pembelian produk SimplySiti menggunakan mata wang ringgit sebenarnya adalah lebih murah.
Mengulas mengenai pelan mengembangkan pasaran ke Asia Barat, beliau menerangkan ia merupakan impiannya selama ini.
“Saya berharap ia dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.
Menurut Siti Nurhaliza, produk SimplySiti kini boleh didapati di gedung Watsons, Aeon dan platform e-dagang Shopee selain butik Creacion.










