Simpan impian keluarkan suplemen sendiri - Utusan Malaysia

Simpan impian keluarkan suplemen sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN masih muda, keinginan untuk mengeluarkan produk suplemen sendiri membuatkan pemilik nama Nurfarjihan Dyhani Mohamed Feroz kini mendalami selok-belok perniagaan bagi membolehkan impiannya itu menjadi kenyataan.

Gadis berusia 19 tahun berasal dari Jitra, Kedah itu juga mahu meneruskan cita-cita ibunya, Siti Nuraida Mohamad Isa yang terlebih dahulu merancang mengeluarkan produk berkenaan sebelum ini.

“Ini juga salah satu sebab saya menyambung pengajian dalam Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar. Ibu memberi galakan untuk saya meneruskan hasratnya,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Petah berbicara, gadis manis yang mesra disapa Dyhani itu juga mula berjinak-jinak dalam bidang peragaan supaya mendapat lebih ramai kenalan dan membentuk keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai.

Dia juga pernah memperagakan jubah muslimah untuk sebuah butik sebelum mendapat beberapa tawaran lain dalam bidang berkenaan.

Katanya lagi, waktu lapangnya diisi dengan menonton tayangan fesyen dalam media sosial melibatkan model antarabangsa dan tempatan bagi mempelajari teknik memperagakan pakaian atau produk serta cara untuk memberikan ‘pose’ yang menarik.

“Saya beruntung kerana kakak memiliki minat yang sama dan menjadikan bidang peragaaan sebagai kerjaya sampingannya, jadi kami sering bertukar-tukar pendapat untuk menajamkan lagi kemahiran ketika sesi fotografi,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Selain aktif dalam aktviti kemasyarakatan melalui Kelab Pembimbing Rakan Siswa di kolejnya, Dyhani juga mempunyai kebolehan untuk berkomunikasi dalam bahasa Urdu kerana memiliki darah campuran Pakistan di sebelah ibunya.

“Saya boleh berkomunikasi sikit-sikit dalam bahasa Thailand walaupun orang hairan bagaimana saya mempelajarinya sedangkan keluarga saya berdarah campuran Pakistan, tapi tidaklah terlalu cekap (berbahasa Thailand),” kata pelajar semester tiga itu.

Dalam pada itu, Dyhani juga mahu mengambil pengajaran terhadap perkara yang menimpa beberapa bintang remaja dalam program terkenal yang terpalit kontroversi baru-baru ini.

“Bagi saya, kita perlu berhati-hati untuk melakukan sesuatu perkara apabila sudah menjadi figura awam, tambahan pula pada zaman tular ini sekejap sahaja orang tahu apa yang kita lakukan.

“Jadi, tidak elok rasanya jika orang mengenali kita dengan kisah-kisah yang negatif kerana tekanannya akan dirasai bukan diri kita sahaja tetapi seluruh ahli keluarga akan terkena tempias,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN