Sila patuhi peraturan - Utusan Malaysia

Sila patuhi peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG
SETIAP kali menjelang musim perayaan, penguat kuasa berkaitan lalu lintas dan keselamatan jalan raya akan melancarkan operasi dengan nama tertentu.

Antara agensi-agensi utama kerajaan yang sentiasa terlibat dengan operasi sebegini ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Justeru sebagai pengguna, kita wajar menghargai perkhidmatan yang diberikan mereka semata-mata untuk keselesaan dan keselamatan ketika di jalan raya.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada hari ini dan esok, Op Selamat dilancarkan 29 Januari lalu dan akan berakhir 12 Februari ini.

Seperti sebelum ini, setiap kali operasi, pihak berkuasa berkenaan akan memberikan tumpuan kepada beberapa perkara utama yang dilihat membawa kepada mudahnya berlaku kemalangan.

Antaranya melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Manakala di sisi lain pula, menurut laporan akhbar baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi amaran bahawa kerajaan tetap tidak berganjak dengan kadar denda RM300 untuk setiap satu kesalahan dan tidak akan dikurangkan sama sekali.

Sebagai rakyat yang berdisiplin di jalan raya, maka sewajarnya kita mematuhi peraturan tersebut di samping sama-sama mendaulatkan undang-undang dan peraturan yang diperuntukkan.

Ini kerana sikap sedemikian bukan sahaja dapat membantu pihak berkuasa dalam tugas mereka tetapi turut memastikan keselamatan serta keselesaan setiap pengguna jalan raya. Sikap itu dapat melindungi diri dan keluarga kita selain melindungi orang lain daripada terlibat dengan kemalangan yang tidak menguntungkan sesiapa.

Oleh itu, sebagai pengguna, marilah sama-sama saling bantu membantu antara satu sama lain agar percutian kita pada musim perayaan ini memberi faedah kepada semua pihak termasuk diri dan ahli keluarga masing-masing.

Semoga segala perancangan dan perjalanan kita diberkati Tuhan.

SALLEH SAAD
Pesara Jabatan Penerangan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN