LONDON 27 Feb. – Pengendali Everton, Marco Silva percaya Gylfi Sigurdsson akan beraksi cemerlang bersama Everton dalam aksi Merseyside Derby, menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, hujung minggu ini.
Pemain tengah itu, berjaya meledak dua gol ketika membantu Everton melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Cardiff sekali gus menamatkan kemarau kemenangan selepas tewas tiga kali sebelum ini.
Seteru setempat mereka, Liverpool akan menjadi lawan seterusnya hujung minggu ini dan Silva percaya Sigurdsson sudah menemui sentuhan terbaiknya ketika ini.
“Awak saksikan Sigurdsson yang berbeza musim ini dan akan lihat perkara sama dalam perlawanan berikutnya menentang Liverpool, Gylfi bermain dengan penuh keyakinan,” kata Silva.
Everton tewas sembilan daripada 14 perlawanan liga termasuk tewas kepada Liverpool di Anfield, Disember lalu apabila Jordan Pickford melakukan kesilapan dan membenarkan Divock Origi menjaringkan gol kemenangan pada penghujung permainan. -AGENSI










