KUALA LUMPUR 1 Feb. – Siapakah yang sebenarnya bersikap rasis dengan menyentuh soal-soal perkauman semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini?
Persoalan itu dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam reaksinya kepada kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang seolah-oleh mendakwa Barisan Nasional (BN) melakukan kesalahan pilihan raya terbanyak berbanding Pakatan Harapan (PH).
Asyraf Wajdi dalam kenyataan beliau turut menyenaraikan 12 perkara didakwa dilakukan PH yang antaranya boleh disifatkan sebagai perkauman.
Antaranya, jelas beliau ialah calon PH daripada DAP, M. Manogaran yang dilaporkan berkata orang Melayu tidak beli kuih daripada gerai Orang Asli dan orang Melayu akan bertanya mengapa tidak ada calon orang Melayu?, selain mengapa mencalonkan Orang Asli pada PRK tersebut.
“Kalau benar Bersih bersifat berkecuali dan bukan alat perkakas PH, kenapa tidak turut mendedahkan secara menyeluruh kesalahan pilihan raya dan kempen perkauman yang dimainkan oleh DAP-PH?
“Bersih seharusnya menyatakan pendirian dengan jelas adakah pendedahan-pendedahan yang telah dilaporkan tidak terkait dengan perkauman atau kesalahan pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Beberapa lagi perkara yang disenaraikan Asyraf Wajdi ialah kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sewaktu berkempen bahawa jika BN menang di Cameron Highlands, orang bukan Islam tidak akan dapat jadi menteri serta kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman Twitter seolah-olah menganggap Orang Asli bukan warganegara penuh.










