Setiausaha akhbar Menteri Pengangkutan mohon maaf - Utusan Malaysia

Setiausaha akhbar Menteri Pengangkutan mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan tampil memohon maaf selepas membuat kenyataan terhadap stesen penyiaran milik kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) minggu lalu.

Menurut Swee Kuan, beliau baru mengetahui bahawa stesen televisyen itu hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) sewaktu siaran langsung perayaan Tahun Baru Cina 2019 di Seremban baru-baru ini.

“Saya menyokong kebebasan media dan berharap bahawa satu hari RTM dapat benar-benar berubah menjadi stesen penyiaran awam profesional yang berkualiti tinggi.

“Saya menyokong sepenuhnya cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk menubuhkan Majlis Media. Ini adalah cara yang betul untuk menilai semula peranan penting media milik kerajaan,” katanya menurusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan, Swee Kuan telah mempersoalkan tindakan RTM ekoran tidak menyiarkan ucapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada majlis tersebut.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan sama ada RTM cuba mensabotaj Kerajaan Persekutuan.

Susulan daripada perkara itu, Gobind telah meminta RTM menyediakan laporan berhubung dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Gobind telah mengeluarkan kenyataan Khamis lalu bahawa RTM telah mematuhi SOP dengan hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri secara langsung dalam mana-mana program yang turut dihadiri menteri dan menteri besar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN