PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan semua penjawat awam supaya mengutamakan kesetiaan untuk negara dan bukannya kepada pemimpin atau parti politik tertentu.
Ketika memberikan ingatan itu kepada anggota jentera pentadbiran pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini semalam, Dr. Mahathir berkata, kesetiaan boleh diberikan kepada pemimpin hari ini atau parti tertentu jika mereka menjalankan tugas dengan baik.
“Jika pemimpin atau parti itu dapat tinggikan pencapaian negara kita maka bersetialah kita kepada pemimpin dan parti itu,” katanya.
Namun katanya, jika pemimpin itu didapati telah menyeleweng daripada menjalankan tanggungjawab, kesetiaan tidak seharusnya diberikan kepada pemimpin tersebut.
“Pemimpin diperlukan tetapi negara lebih utama. Kadangkala kita terpaksa ubah sedikit pandangan kita. Janganlah terlalu taksub kepada pemimpin dan parti sehingga kita lupakan tugas kita untuk negara.
“Kalau negara itu ditadbir dengan baik, dia (kerajaan) perlu mendapat ketaatan dan kesetiaan daripada kita tetapi jika ada penyelewengan maka yang lebih utama ialah negara, bukan orang atau parti atau ideologi tertentu,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan semalam mengumumkan pelantikan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi yang ditubuhkan untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.
Kenyataan itu turut menyenaraikan 16 nama yang dilantik sebagai ahli majlis antaranya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr. Muhammed Abdul Khalid.










