PUTRAJAYA 1 Feb. – Pakatan Harapan (PH) mendapati rakyat tidak mengetahui tentang perkara-perkara yang telah dilakukan oleh kerajaan hari ini kerana tiada penjelasan secara bersepadu serta bersama dilakukan.
Sehubungan itu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, satu badan yang berperanan untuk memeriksa tentang tuduhan-tuduhan terhadap PH serta semua perkara yang dilakukan pakatan berkenaan sejak mengambil alih kerajaan akan diwujudkan.
“Sebenarnya, walaupun ramai percaya bahawa coalition (pakatan) campuran PH tidak mungkin berjaya tetapi hakikatnya adalah, sejak mengambil alih, kita boleh bekerjasama sesama kita dan laksanakan dasar-dasar kerajaan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan lain-lain.
“Walau tidak ternampak tetapi banyak kejayaan dicapai dan kita akan senaraikan kejayaan ini tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan juga bersetuju menubuhkan satu badan yang akan meneliti dan membuat keputusan berhubung ekonomi negara seperti peranan yang pernah dijalankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini.
Beliau berkata, kerajaan akan menentukan semua masalah ekonomi akan dibawa kepada majlis tersebut.
“Kita akan menentukan agar keputusan dibuat dan tindakan diambil dengan cepat. Kita lihat sekarang berpecah sebab tiada badan yang menentukan tentang pelabur dan sebagainya.
“Ada pergi kementerian-kementerian tetapi tindakan tidak begitu jelas kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











