PONTIAN 1 Feb. – Semangat Cameron Highlands akan dibawa Barisan Nasional (BN) dan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini memberikan keyakinan kepada BN memenangi kerusi tersebut yang disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, dengan 68 peratus pengundi adalah Melayu, BN berharap mereka dapat mengambil kesempatan menolak calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada kali ini.
“PRK Semenyih adalah peluang pengundi menolak PH yang banyak memungkiri janji sebagaimana manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selain kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kita berharap peratus keluar mengundi akan bertambah berbanding PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong yang menunjukkan kadar terendah pernah direkodkan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Pontian di Hospital Pontian di sini sebentar tadi.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerjasama antara BN dan Pas perlu diteruskan pada PRK DUN Semenyih sebagaimana yang berjaya dilakukan di PRK Cameron Highlands.
“Agenda penyatuan umah antara BN dan Pas akan sekali lagi diterjemahkan pada PRK DUN Semenyih bagi memastikan kemenangan memihak kepada BN yang akan meletakkan calon mereka nanti,” ujarnya.
PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU-14, Bakhtiar menewaskan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN) serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi. – UTUSAN ONLINE











