KES tuntutan nafkah kepada isteri dan anak-anak selepas berlaku perceraian memang rumit dan memeningkan.
Ini disebabkan ada bekas suami yang liat dan mengelak daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagaimana yang ditetapkan oleh agama. Malah, ada yang sanggup ingkar, waima selepas dikeluarkan perintah mahkamah.
Sebab itu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pada Rabu lalu tentang Mahkamah Nafkah akan diwujudkan dalam pelan transformasi dan penstrukturan Mahkamah Syariah dengan kuasa mengambil tindakan ke atas suami yang liat dalam membayar nafkah kepada bekas isteri, amat dialu-alukan.
Kata beliau, bagi maksud tersebut, kerajaan akan membentangkan perkara itu di Dewan Rakyat selewat-lewat Mac ini bagi membolehkan ia dilaksana segera.
Antara mekanisme itu ialah membolehkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah menggunakan seperti menuntut caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau wang dari akaun bank bekas suami untuk membayar nafkah kepada isteri yang diceraikan setelah diputuskan oleh mahkamah.
Mengikut statistik dari 2014 hingga 2016 berlaku 171,252 perceraian pasangan Islam. Di Terengganu sahaja, sebanyak 1,371 kes ingkar perintah nafkah diadukan sejak 2010 hingga 2016, selain 588 kes difailkan ke Mahkamah Syariah Terengganu bagi tujuan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah.
Pada 26 Jun 2017, Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd. berkata, kerana liat membayar nafkah anak selepas berpisah dengan isteri, lapan lelaki berusia antara 20-40-an dipenjara dalam tempoh enam tahun lalu.
Jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan 37 orang diperintah ke penjara kerana ingkar perintah mahkamah dalam kes pembayaran nafkah sejak 2010.
Begitulah antara episod rumitnya menyelesaikan kes tuntutan nafkah bagi pasangan yang bercerai.
Islam membenarkan perceraian jika sudah tidak ada lagi persefahaman antara suami isteri atau atas sebab-sebab yang dibenarkan syarak.
Bercerai itu satu hal. Hal yang memeningkan kepala selalunya ditimbulkan oleh bekas suami. Bagi mereka, apabila bercerai, putus dan terlerailah ikatan perkahwinan serta tanggungjawab memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak.
Biasa kita dengar kes tuntutan nafkah isteri dan anak-anak yang memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan di mahkamah. Kadang-kadang ia berlarutan daripada umur anak tiga tahun sehingga masuk universiti.
Yang menjadi mangsa tentulah anak-anak dan isteri. Kalau bekas isteri itu bekerja, bolehlah mereka bertahan tetapi kalau mereka hanya suri rumah, alamatnya tidak berasaplah dapur.
Akhirnya antara yang banyak membantu adalah institusi zakat baik dari segi bantuan bulanan ataupun menjelaskan sewa rumah dan bantuan awal tahun persiapan untuk bersekolah.
Dalam kitab Fiqh Manhaji, dari segi bahasa nafkah diambil daripada perkataan infak yang bermaksud mengeluarkan. Dari segi istilah, nafkah bermaksud setiap apa yang dihajati oleh manusia seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal. Nafkah juga bermaksud saraan hidup yang mana ia satu keperluan manusia.
Manusia memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal yang merupakan asas untuk hidup.
Suami bertanggungjawab menanggung nafkah isteri dan bapa pula menanggung nafkah anak sesuai dengan kedudukan lelaki sebagai pemimpin bagi wanita. (rujuk al-Nisa’: 34)
Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya. (at-Talak: 6 )
Berdasarkan dalil di atas, seorang bapa itu wajib memberi nafkah untuk anak-anaknya dengan syarat:
1. Anak itu belum boleh berdikari. Bagi anak perempuan sehingga ia berkahwin atau sehingga ia ada pekerjaan.
2. Anak itu miskin tidak mempunyai harta sendiri untuk menafkahkannya.
3. Bapa itu mampu memberi nafkah.
Bagi golongan bapa, janganlah sengaja mengadakan helah kononnya tidak mampu memberi nafkah walhal sebenarnya mampu.
Apakah mereka mahu menipu Allah? Ingatlah rezeki datang daripada Allah dan doa orang yang dizalimi adalah makbul. Berlaku adillah, insya-Allah rezeki lebih berkat.
Anak-anak yang terhasil daripada perkahwinan itu selain adalah amanah Allah, ia juga bukti cinta dan kasih suami isteri. Ia tidak sepatutnya diabai dan menjadi mangsa perceraian.










