‘Sayangi Wilayahku’ - Utusan Malaysia

‘Sayangi Wilayahku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 1 Februari setiap tahun merupakan tarikh istimewa buat warga Wilayah Persekutuan.

Pada tarikh ini mereka meraikan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan bagi memperingati Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Tahun ini merupakan sambutan ke-15 gabungan ketiga-tiga wilayah sejak wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) pada 27 Mac 2004.

Bandar raya Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, Labuan 16 April 1984 dan Putrajaya pula pada 1 Februari 2001.

Tema sambutan kali ini ‘Sayangi Wilayahku’ membawa maksud cukup besar bagi warga Wilayah Persekutuan dengan kedudukan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, pemilihan tema seiring dengan integrasi nasional dan kesejahteraan yang akan menjadi penggerak utama agenda memperkasakan perpaduan dalam kalangan lapisan masyarakat majmuk khususnya di Wilayah Persekutuan.

Sebanyak 21 program akan dianjurkan oleh kementerian dan agensinya sepanjang sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Ia merangkumi lima kluster utama iaitu Pengiktirafan, Mesra Rakyat, Sukan dan Rekreasi, Ilmiah dan Keharmonian dan Inisiatif Mensejahterakan Rakyat.

“Semoga sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 ini akan memupuk rasa cinta dan sayang kepada Wilayah Persekutuan.

“Harapan saya agar tema Sayangi Wilayahku pada tahun ini dapat menambah rasa sayang dan cinta kepada Wilayah Persekutuan serta dapat mengukuhkan keharmonian serta perpaduan warga Wilayah Persekutuan sekali gus bersama-sama memajukan lagi Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan bersama,” kata Khalid dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.

Seiring dengan peredaran masa dan pelbagai usaha dilakukan kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan, ketiga-tiga wilayah tersebut terus berkembang pesat sebagai pusat kewangan dan pelancongan serantau dan antarabangsa.

Dalam usaha memastikan tiga wilayah persekutuan ini terus maju, KWP sebagai kementerian bertanggungjawab juga telah melancarkan wawasan dinamakan “Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi.”

Menurut Khalid, wawasan itu merupakan rangka kerja dan dasar yang akan dilaksanakan untuk Wilayah Persekutuan sepanjang tahun 2019.

Wawasan itu mempunyai enam paksi utama iaitu Wilayah Bersih, Keselamatan Awam, Pengangkutan Awam Efisien, Sosio Ekonomi Mampan, Persekitaran Hijau dan Komuniti Inklusif.

“Ini merupakan paksi-paksi yang akan kita usahakan untuk menentukan bahawa harapan warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan tercapai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×