"Saya tidak kenal siapa mereka" - Streram - Utusan Malaysia

“Saya tidak kenal siapa mereka” – Streram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Dr. S. Streram mendakwa beliau tidak mengenali sekumpulan individu yang mengaku sebagai Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menurutnya, beliau tidak pernah melihat wajah kumpulan lelaki yang mengadakan sidang akhbar hari ini bagi meminta pucuk pimpinan PH tidak mencalonkannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi DUN Rantau.

“Saya tidak kenal siapa mereka. Saya tidak tahu dari mana mereka datang. Saya percaya mereka bukan dari PKR. Mungkin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) saya tidak pasti.

“Saya tidak mahu layan isu yang dibangkitkan mereka. Saya akan teruskan kerja dan serahkan kepada pucuk pimpinan PH buat keputusan siapa yang akan dicalonkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Terdahulu, Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya PH Dewan DUN Rantau hari ini mengadakan sidang akhbar meminta pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan Streram pada PRK bagi kerusi DUN Rantau. 

Pengerusinya, Zuljimmykifli Sahari dipetik berkata, meskipun Streram adalah Penyelaras DUN Rantau dan dinamakan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tetapi beliau bukan anak jati DUN Rantau dan dikhuatiri akan ditolak oleh pengundi tempatan.

Bagi beliau, pucuk pimpinan PH harus memilih calon tempatan dan anak jati kelahiran DUN Rantau untuk bertanding menentang calon ‘gergasi’ UMNO iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya PH DUN Rantau menyatakan sokongan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Rembau, Saparin Musa yang merupakan anak jati Rantau sebagai calon PRK tersebut.

Mengulas lanjut, Streram berkata, jika beliau ditolak oleh penduduk Rantau kerana bukan anak jati, pasti beliau tidak dipilih sebagai Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau sebelum ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN