HULU LANGAT 25 Feb. – Ucapan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali semakin baik dan meyakinkan pada saat-saat memasuki minggu terakhir berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Terbaru, Muhammad Aiman bercerita mengenai kerjayanya sebagai seorang jurutera di hadapan kira-kira 100 orang masyarakat Orang Asli.
Calon PH berusia 30 tahun itu cuba mengaitkan kerjaya profesionalnya itu dengan prinsip-prinsip membina sesebuah masyarakat.
“Saya seorang jurutera. Jurutera adalah pembina dan penyelesai masalah. Jadi, yakini pada kebolehan saya untuk menyelesaikan masalah,” katanya pada majlis Sembang Santai Bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Sungai Lalang Baru di sini petang semalam.
Muhammad Aiman menyambung ucapannya dengan berharap masyarakat Orang Asli terus menyokong PH pada PRK DUN Semenyih.
Katanya, jika sokongan diteruskan kepada PH, ia akan memudahkan bantuan untuk disalurkan kepada para penduduk berikutan Semenyih berada di Selangor yang diperintah kerajaan PH.
“Kita hendak bawa dasar-dasar Kerajaan Negeri Selangor yang merupakan negeri berkebajikan.
“Kita semua perlu sedar bahawa setiap penduduk Selangor juga layak menerima insentif daripada kerajaan negeri. Ini yang saya hendak bawa,” katanya.
Muhammad Aiman bagaimanapun mengakhiri ucapan dengan merayu kepada semua penduduk Orang Asli supaya menyokong PH pada hari mengundi, 2 Mac ini.
“Saya minta tuan-puan, pada 2 haribulan ini, undilah saya, undilah PH di Semenyih,” ujarnya. habis










