LONDON 26 Feb. – David Luiz berkata keengganan Kepa Arrizabalaga untuk digantikan ketika final Piala Liga menentang Manchester City tidak membuatkan Maurizio Sarri hilang rasa hormat terhadap pemain Chelsea.
Kedudukan Sarri ibarat seperti telur di hujung tanduk bagaimanapun pasukannya berjaya menunjukkan persembahan mantap ketika menentang City, lawan sama yang menewaskan The Blues 6-0 dua minggu lalu.
Bagaimanapun, City berjaya mengekalkan kejuaraan mereka selepas menang penentuan penalti 4-3 di Wembley bagaimanapun aksi final itu dibayangi dengan insiden pelik apabila Kepa enggan dikeluarkan sehingga mencetus kemarahan terhadap bos Chelsea itu.
Jurulatih dari Itali itu dan Kepa kemudiannya berkata perkara tersebut terjadi disebabkan berlaku salah faham.
“Jurulatih mempunyai kuasa terhadap pasukan. Kami masih menghormatinya. Bagi saya, tiada masalah mengenai insiden tersebut. Kami semua faham tentang falsafahnya dan kami percaya dengan corak permainan yang dia inginkan.
“Itu adalah punca kami dapat bermain dengan baik ketika menentang salah satu kelab terbaik di Eropah. Selain daripada itu, insiden tersebut berlaku disebabkan salah faham dan kami semua mahukan yang terbaik untuk Chelsea,” kata Luiz.
Bekas pemain tengah Chelsea, Michael Ballack percaya pengurusan tertinggi Chelsea perlu memberi sokongan sepenuhnya terhadap Sarri.
“Satu gambaran yang tidak baik untuk Chelsea. Pengurusan perlu melakukan sesuatu kerana ini amat penting untuk pemain menghormati jurulatih dan sebaliknya. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya. – AFP











