KUALA LUMPUR 25 Feb. – Saham Gamuda Bhd. (Gamuda) susut pada awal dagangan hari ini susulan laporan kerajaan memulakan rundingan dengan syarikat itu bagi tujuan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya dengan pegangan majoritinya, sejajar hasrat untuk memansuhkan kutipan tol di kawasan tersebut.
Pada pukul 2 petang, saham Gamuda susut 20 sen kepada RM2.84 sesaham dengan 28,685,100 saham bertukar tangan. Ia dibuka pada RM2.80 sesaham pada sesi dagangan hari ini.
MIDF Research, berkata impak pengambilalihan tersebut terhadap pendapatan Gamuda adalah negatif bersih, memandangkan langkah itu akan menyebabkan vakum pendapatan.
“Bagaimanapun, kami berpendapat terlalu awal untuk menentukan kesannya kerana kami masih belum memiliki butirannya.
“Untuk itu, ramalan kami mengenai pendapatan kumpulan kekal tidak berubah sehingga perkembangan lanjut mengenai pengambilalihan tersebut diumumkan,” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










