Sabah akan mempelbagaikan industri sebagai sumber ekonomi baharu - Utusan Malaysia

Sabah akan mempelbagaikan industri sebagai sumber ekonomi baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU 27 Feb. – Kerajaan Sabah merancang untuk mempelbagaikan industri termasuk membuka peluang kepada sektor automotif berkembang di negeri itu bagi menjadikan ia sebagai sumber pendapatan baharu ke arah merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

Timbalan Naib Presiden Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) Iwan Masrul berkata langkah itu juga bertujuan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu terutama dalam kalangan graduan bidang teknikal, kejuruteraan dan vokasional.

Beliau berkata komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan industri automotif itu disokong dengan hasrat Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) yang berminat membuat pelaburan jangka panjang bernilai RM600 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sabah mempunyai prospek serta potensi bagus untuk membangunkan industri automotif selain negeri ini juga tidak mempunyai masalah besar untuk melonjakkan pembangunan sektor itu kerana adanya Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

“KKIP mampu menyokong pembangunan industri automotif di Sabah selain lokasinya sesuai dan strategik kerana berhampiran Pelabuhan Kontena Sepanggar selain ia juga mempunyai kemudahan infrastruktur asas sebagai kawasan perindustrian,” katanya kepada Bernama, di sini.

Pelaburan TCMH di Sabah difahamkan untuk membina kilang pemasangan automotif pertama di KKIP, dan syarikat itu memilih Sabah kerana kedudukannya yang strategik bagi mengembangkan lagi industri automotif terutama di Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN – Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Mengulas lanjut, Iwan berkata, SEDIA amat mengalu-alukan pembangunan industri bermanfaat kepada rakyat Sabah selagi ia selari dengan prinsip utama Koridor Pembangunan Sabah (SDC) untuk menjana nilai ekonomi berimpak tinggi serta pembangunan wilayah seimbang dan mampan.

Beliau berkata pembangunan industri sesuai berupaya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan, melahirkan lebih ramai tenaga mahir, memberi limpahan ekonomi seterusnya menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri berdaya maju.

Dalam konteks pembangunan industri automotif, Iwan berkata, kerajaan Sabah perlu menyediakan ekosistem serta jaringan industri sokongan yang baik terlebih dahulu kerana kedua-dua elemen berkenaan amat diperlukan dalam memastikan industri automotif di negeri itu berkembang lebih kompetitif dan berdaya saing.

“Pada peringkat permulaan, pembangunan industri automotif sememangnya akan menelan belanja sangat besar khususnya dalam membina ekosistem dan industri sokongan terutama melibatkan industri pengeluaran komponen-komponen automatif.

“Ini penting kerana jika tiada ekosistem dan jaringan industri sokongan, Sabah akan lebih banyak mengimport komponen-komponen kereta, yang mana ia akan menjadikan negeri tidak berdaya saing,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Iwan berkata, pembangunan pesat ekonomi Sabah didorong oleh sektor utama iaitu sektor pertanian, minyak sawit, pelancongan, perlombongan dan kuari serta pembuatan, yang secara tidak langsung berupaya menjana peluang pekerjaan termasuk dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan vokasional.

Beliau berkata projek pembangunan di bawah SDC memerlukan kepakaran tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan termasuk bagi membangunkan industri minyak dan gas, menaik taraf pelabuhan dan dermaga, kilang industri sawit, pembinaan infrastruktur jalan raya serta pelbagai lagi projek pelaburan swasta yang berjaya dibawa masuk ke Sabah.

“Kerajaan negeri telah mencipta pelbagai peluang ekonomi melalui pewujudan projek pembangunan di seluruh Sabah. Justeru, para belia terutama dalam kalangan graduan bidang berkenaan seharusnya memanfaatkan peluang itu untuk mengembangkan kerjaya,” katanya.

Iwan berkata SDC komited untuk terus membangunkan Sabah dengan kekuatan serta kelebihan sedia ada selain mengoptimumkan sepenuhnya sumber dimiliki sebagai industri utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, Sabah adalah sebuah negeri kaya dengan hasil sumber seperti minyak dan gas, tanah pertanian subur, perladangan sawit dan perhutanan selain memiliki kekayaan biodiversiti marin, hidupan liar, malah tapak warisan dunia seperti Gunung Kinabalu, Maliau Basin dan Lembah Danum.

“Sumber ini dijana dengan nilai lebih tinggi dan secara lestari supaya ia mampu bertahan dalam tempoh lama, menyeimbangkan pembangunan seterusnya memberi faedah kepada rakyat Sabah,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN