Rumah ibadat perlu ada CCTV - Utusan Malaysia

Rumah ibadat perlu ada CCTV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Feb. – Pihak pengurusan rumah ibadat di negara ini disaran supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis masing-masing bagi membendung kegiatan jenayah seperti mencuri atau cubaan mensabotaj premis tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketiadaan CCTV di kebanyakan rumah ibadat sama ada surau, masjid, kuil, tokong atau gereja menyukarkan pihak berkuasa membuat siasatan terhadap kes jenayah yang dilaporkan berlaku di situ.

“Ini (pemasangan CCTV) adalah salah satu usaha bagi mencegah kes jenayah di rumah ibadat namun ia mungkin membabitkan kos yang agak tinggi. Tapi jika pihak rumah ibadat ada kemampuan, mereka memang perlu pasang CCTV,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan kepada 174 penerima di Hotel Perdana, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya berdepan kesukaran menyiasat kes dua patung berhala yang sengaja diletakkan di hadapan Surau Sabilul Huda, Pandamaran, Klang baru-baru ini kerana surau tersebut juga tidak dilengkapi CCTV.

“Dalam kes patung berhala di surau itu, selain tiada CCTV, tiada saksi yang tampil ke hadapan dan ini menyukarkan pihak polis untuk mengesan siapa pelakunya.

“Namun, kita bernasib baik kerana mendapat petunjuk sekali gus berjaya mengesan individu yang bertanggungjawab. Suspek berjaya ditahan pada pukul 6.15 petang di Klang Selatan, semalam,” katanya.

Beliau dalam pada itu memberitahu, pihak polis memandang serius kejadian jenayah di rumah ibadat dan provokasi membabitkan agama yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Kata beliau, bagi membendung perkara tersebut yang berpotensi menggugat keamanan negara, polis kini menjalinkan kerjasama lebih erat dengan pengurusan rumah ibadat termasuk meletakkan premis-premis terbabit di bawah jagaan pegawai tertentu.

“Kita amat berharap masyarakat berbilang kaum di negara ini supaya tidak membuat provokasi dan mencaci penganut agama lain seperti insiden menghina Rasulullah SAW baru-baru ini. 

“Dalam masa sama, orang Islam juga mesti faham sensitiviti dan kepercayaan rakan-rakan bukan Islam,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berumur 37 tahu bagi membantu siasatan berkaitan dua kejadian meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda.

Lelaki terbabit yang dipercayai mempunyai masalah mental ditahan di sebuah rumah di Taman Pandamar Indah, pukul 6.15 petang semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN