KUALA LUMPUR 20 Feb. – Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (PVRTM) menolak dakwaan wujud unsur kakitangan agensi itu cuba mensabotaj kerajaan apabila tidak menyiarkan ucapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika liputan secara langsung di Seremban baru-baru ini.
Presidennya, Zohara Gany Mhd. Bathusha berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP), kebiasaannya pengamal media akan memberikan tumpuan kepada tetamu kehormat paling utama dalam sesebuah majlis.
“Majlis tersebut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa tetamu kehormat lain termasuk Anthony.
“Mengikut SOP yang diamalkan sejak dahulu lagi, tumpuan akan diberikan kepada kenamaan (VIP) yang paling utama iaitu Perdana Menteri dan diikuti acara perasmian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.










