Roti Titab memikat selera - Utusan Malaysia

Roti Titab memikat selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tatkala melangkah masuk ke Kopitiam Kita, keharmonian pelanggan pelbagai kaum dapat dilihat dengan jelas. Ada pelanggan yang berkeluarga dan ada pula datang bersama rakan-rakan. Sama ada saling mengenali atau tidak, sama kaum dan agama atau sebaliknya, masing-masing tidak kisah untuk duduk semeja.

Agak riuh, namun bila diamati bukan sahaja loghat Kelantan yang kedengaran, malah pelbagai loghat dan bahasa Melayu, Cina, Tamil, Siam dan Inggeris turut kedengaran.

Sejak dibuka kira-kira 14 tahun lalu, kopitiam yang terletak di Taman Desa Jaya, Jalan Pengkalan Chepa itu bukan sahaja muncul sebagai kedai makan kegemaran ramai dan tempat pertemuan penduduk sekitar Kota Bharu, Kelantan, malah merupakan destinasi pilihan pelancong.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melihat plat kenderaan yang pelbagai di pekarangan kopitiam itu, ternyata sejumlah besar pelanggan datang dari luar Kelantan. Ada kalanya terdapat banyak bas rombongan di tempat letak kereta itu terutama pada musim cuti sekolah.

BERBILANG KAUM

Pemiliknya, N.H. Wong, 62, berkata, nama Kopitiam Kita dipilih kerana ia satu nama yang ringkas dan mudah bagi menyampaikan maksud tersirat ‘Kita’ iaitu untuk semua kelompok masyarakat tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India, Siam dan sebagainya. Semuanya bertandang sebagai sebuah keluarga besar untuk menikmati hidangan kegemaran di kedai kopi itu.

Kopitiam yang dibuka pada 2005 itu pada mulanya menjual roti canai, roti bakar serta nasi berlauk dan nasi tumpang yang diambil daripada pembekal di sekitar Kota Bharu. Wong ketika itu dibantu oleh lima pekerja bagi mengurus kedai yang hanya mempunyai 20 meja makan.

Namun, sejak memperkenalkan Roti Titab kira-kira empat tahun kemudian, keadaan menjadi semakin sibuk dan kedai itu bagaikan semakin kecil. Kini 25 pekerja tidak menang tangan melayan pelanggan yang silih berganti memenuhi 90 meja yang disediakan.

Jika ke Kopitiam Kita, tinjau sahajalah di atas meja, pasti ada menu Roti Titab iaitu roti Hailam bakar yang di tengah-tengahnya telur separuh masak serta seri kaya di empat penjurunya selain kopi atau kopi O Hailam pekat menjadi hidangan pilihan. “Idea untuk menghidangkan Roti Titab tercetus setelah menikmati sarapan ketika saya ke Guangzhou, China pada 2009. Jadi, saya perkenalkan Roti Titab tetapi diolah sedikit untuk menepati cita rasa tempatan dan dihidangkan dengan seri kaya resipi sendiri,” katanya.

HIDANGAN TEMPATAN


Mengulas lanjut Wong berkata, ‘titab’ tidak mempunyai sebarang makna khusus tetapi merupakan satu jenama yang dipilihnya kerana perkataan ‘titab’ dirasakan mudah disebut dan diingati.

Katanya, sebanyak 300 set Roti Titab mampu disediakan dalam satu masa terutama pada hujung minggu.

Selain Roti Titab, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai makanan tempatan seperti nasi air dingin, nasi dagang, nasi lemak, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi ayam pencen dan pulut.

“Kami memberi peluang kepada pengusaha makanan di sekitar bandar raya ini untuk berniaga dengan meletakkan produk di sini.

“Kini, terdapat 20 pembekal yang menghantar pelbagai jenis makanan di sini. Makanan diletakkan di bahagian layan diri,” katanya yang fasih berbahasa Melayu dengan loghat Kelantan.

Sejak dua tahun lalu, Wong memperkenalkan perkhidmatan penghantaran di sekitar Kota Bharu.

“Pelanggan boleh menempah apa sahaja makanan yang ada di kedai kami sekiranya tidak berpeluang datang ke sini,” katanya sambil menambah bahawa caj penghantaran yang dikenakan hanya RM5.



MENJAMU SELERA



Seorang pelanggan, Irene Yap Hui Sun, 36, dari Kuala Lumpur memberitahu, ini kali pertama dia mengunjungi Kopitiam Kita berdasarkan cadangan rakannya.

“Saya teruja sangat. Rasa bagaikan berada bersama keluarga sendiri dikelilingi keriuhan perbualan serta hilai tawa walaupun tidak mengenali pengunjung lain.

“Jika di bandar besar seperti Kuala Lumpur, susah nak dapat suasana seperti ini. Pelbagai kaum menjamu selera di bawah satu bumbung dalam suasana mesra,” katanya.

Irene berpendapat, Kopitiam Kita ibarat ‘pusat bagi hidangan tempatan’. Justeru, ia menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat.

Sementara itu Nik Nashriq Nazman, 31, yang bersarapan di kopitiam itu hampir setiap hari berkata, suasananya yang terbuka membuatkan pelanggan selesa menjamu selera selain banyak pilihan makanan.

“Bila ramai orang di kopitiam dan tiada meja kosong pelanggan tidak kisah berkongsi duduk semeja dengan orang yang tidak dikenali. Yang penting semua berpeluang menikmati sarapan di tempat ini,” katanya.

Kopitiam Kita mendapat penghargaan khas Pematuhan GST Tahun 2007 oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Anugerah Kedai Harga Patut pada 2014 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang kini dikenali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam pada itu, nama Roti Titab telah dipatenkan melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 2016.

Selain hidangan enak, sesuatu yang paling menarik perhatian ramai adalah gambar kenangan pelanggan termasuk golongan kenamaan dan selebriti yang dipamerkan pada dinding kopitiam untuk tatapan pengunjung.

Walaupun popular sebagai tempat sarapan, Kopitiam Kita juga dibuka pada waktu malam. Waktu operasinya adalah setiap hari dari pukul 6.30 pagi hingga 2 petang kecuali Jumaat hingga 12.30 tengah hari. Untuk sesi malam pula dibuka dari pukul 7 malam hingga 12 tengah malam pada hari Ahad hingga Khamis. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×