KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memerintahkan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, untuk hadir ke mahkamah esok bagi memberi penjelasan berhubung kewujudan 44 unit barangan kemas bernilai hampir RM60 juta yang perlu disahkan Datin Seri Rosmah Mansor di bawah milikannya yang dirampas polis tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan, peguam yang mewakili Rosmah selaku defendan, N.Rajivan selepas pendengaran permohonan Rosmah untuk menggantung prosiding perbicaraan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin.
Rajivan berkata, mahkamah telah mengarahkan polis itu Superintendan Foo Wei Min yang juga pegawai penyiasat untuk hadir bagi menjelaskan sama ada barang kemas terbabit berada dalam simpanan pihak polis atau tidak.
“Sebelum ini, mahkamah telah memberikan tempoh tujuh hari kepada anak guam saya memeriksa kewujudan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, gelang dan tiara.
Sehubungan itu, sama ada perbicaraan akan diteruskan pada tarikh yang telah ditetapkan atau tidak bergantung kepada penjelasan pegawai polis tersebut kepada mahkamah hari ini,” katanya yang yang memohon prosiding saman ini ditangguhkan ke 2019.
Sementara itu peguam David Gurupathan yang mewakili syarikat pemborong barangan kemas berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL selaku plaintif memberitahu tetap mahu meneruskan perbicaraan. – K! ONLINE











