KUALA LUMPUR 24 Feb. – Polis merampas 9,500 karton rokok dan 880 kilogram tembakau asli dianggarkan bernilai lebih RM1 juta yang diseludup masuk ke negara ini dalam serbuan di sekitar Seri Kembangan, dekat sini pada Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan/Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas jabatan itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 38 dan 50 tahun turut ditahan.
“Kita juga menyita dua lori dan sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Hilux yang membawa muatan rokok seludup tersebut. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.89 juta.
“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan selama empat tahun dan kesemua barangan seludup tersebut dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan selatan Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Acryl Sani, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM50,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










