Rohingya ‘diserang’ demam campak - Utusan Malaysia

Rohingya ‘diserang’ demam campak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA 25 Feb. – Masyarakat etnik Rohingya yang melarikan daripada kekejaman tentera Myanmar dan tinggal di kem-kem pelarian negara ini, kini berdepan masalah baharu.

Lapor portal Arab News, pelarian berdepan wabak demam campak dan kira-kira 20,000 orang dilaporkan meng­alami penyakit berkenaan sehingga tahun ini.

“Anak perempuan saya ber­usia dua tahun, Sharifa meng­alami demam sejak tiga hari lalu. Baru pagi ini, saya melihat beberapa ruam di badannya dan terus membawanya ke pusat perubatan,” kata Arifa Begum, 32, kepada Arab News ketika ber­atur di pusat perubatan di kem Kutupalang.

Sementara itu, Ambia Bibi, 26, bersama anak lelakinya berusia enam tahun, Ajim Uddin turut beratur menunggu doktor.

“Saya mengambil ubat selama tiga hari untuk anak saya. Tetapi disebabkan demam campak, dia mengalami muntah-muntah dan saya datang ke sini, hari ini untuk rawatan susulan,” jelasnya.

Menurut Dr. Shahidul Islam yang bekerja di pusat perubatan kem Kutupalang, situasi melibatkan kanak-kanak Rohingya berada pada tahap seperti ‘wabak’ walaupun pihak berkuasa tidak mengisytiharkannya secara rasmi.

“Demam campak merupakan penyakit berjangkit dan tahun ini jumlah pesakit lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata ratusan kanak-kanak dirawat untuk demam campak pada bulan lalu dan beratus lagi menerima rawatan bulan ini.

Tabung Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyediakan bantuan perubatan menerusi 19 pusat kesihatan dan tiga daripadanya beroperasi tujuh hari seminggu.

“Disebabkan kanak-kanak ini tinggal dalam keadaan yang bersesak dan sempit, kami tidak dapat mengambil langkah sewajarnya untuk memeriksa penyebaran demam campak.

“Untuk memberi kesedaran berkaitan penyakit ini, kami te­lah mengerahkan kira-kira 1,000 sukarelawan,” kata jurucakap UNICEF, Nazzina Mohsin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN