KUALA LUMPUR 15 Feb. – Bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Roger Ng bersetuju untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi tiga pertuduhan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah negara itu.
Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan permohonan Ng Chong Hwa, 47, selaku responden ketika sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Dalam penghakimannya, hakim berkenaan berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan persetujuan responden untuk kembali ke AS selepas dinasihatkan.
Roger Ng yang kini direman di bawah Akta Ekstradisi 1992 (Akta 476) memohon untuk dikecualikan daripada menghadapi prosiding diekstradisi yang dikemukakan oleh kerajaan terhadapnya.
Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Roger Ng ketika berhujah memaklumkan anak guamnya bersetuju untuk diekstradisi ke negara itu dalam 30 hari ini kerana telah bersedia untuk menghadapi kesnya yang akan didengar di mahkamah di New York.
Roger Ng yang telah ditahan pada 1 November tahun lalu berdasarkan waran tangkap yang dipohon oleh kerajaan AS direman 60 hari bagi proses prosiding ekstradisi berikutan dia menghadapi tiga pertuduhan di mahkamah di New York.
November tahun lalu, lelaki itu dituduh tanpa kehadirannya di mahkamah AS bersama rakan bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Mengikut tuduhan itu, Jho Low dan dan Roger Ng bersubahat mengubah berbilion dolar wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan berkonspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan membayar rasuah kepada pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi. – UTUSAN ONLINE.










