RM200,000 kerugian CCRC akibat serangan gajah liar - Utusan Malaysia

RM200,000 kerugian CCRC akibat serangan gajah liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI 5 Feb. – Pusat Penyembuhan, Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi mengalami kerugian hampir RM200,000 kerana kerosakan tanaman, fasiliti termasuk pagar dan landskap disebabkan serangan gajah liar.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, serangan sekumpulan gajah liar itu dilaporkan berada di kawasan CCRC itu bermula kira-kira 10 malam kelmarin hingga awal pagi semalam.

 Menurutnya, peruntukan bagi membaiki pagar itu akan dibuat dalam masa terdekat menerusi perolehan darurat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pada masa sama turut memohon bantuan peruntukan kerajaan negeri.

“Kejadian dalam skala begitu iaitu dengan kerosakan pagar keselamatan dan tanaman merupakan pertama kali berlaku selain ia berhampiran pos keselamatan dan ini membawa ancaman kepada pekerja serta penghuni CCRC sekali gus perlu beri perhatian kerana sebelum ini gajah liar itu hanya lalu sahaja.

“Justeru, kita akan menilai semula tentang keselamatan di sini, malah kita juga sudah mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Perhilitan berhubung kaedah terbaik boleh dilaksanakan seperti memasang lampu yang sesuai bagi mengelak perkara sama berulang,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke CCRC di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah CCRC Kota Tinggi, Faizah Hayati Harun.

Zulkifli berkata, pihaknya dimaklumkan sebuah santuari gajah sedang giat dibangunkan dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini bagi menempatkan kira-kira 80 gajah liar yang sering berkeliaran di sekitar kawasan Kota Tinggi.

Pada masa sama, beliau juga berharap projek santuari itu apabila siap kelak akan dapat menempatkan gajah liar terlibat kerana untuk menikmati satu kehidupan yang seimbang, pihak berkenaan perlu mengambil kira keperluan binatang liar itu.

“Saya bersama wakil Jabatan Perhilitan mengadakan taklimat mengesahkan projek tersebut sedang berjalan dan dijangka siap pertengahan tahun ini dan kita berharap dengan adanya santuari itu, gajah-gajah liar akan mempunyai tempat sesuai,” katanya. –  UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN